Akhirnya teka-teki peminat animasi ikonik Malaysia, Keluang Man, akhirnya terjawab apabila Pelakon aksi, Nas Muammar Zar atau dikenali sebagai Nas-T terpilih untuk memegang peranan superhero tersebut.
Menurut Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, pemilihan Nas-T itu adalah kerana dia mempunyai ciri-ciri dan dedikasi yang menepati kriteria karakter Keluang Man.
Pihaknya berbesar hati membawakan naskhah berkenaan ke pawagam kerana ia dikenali sebagai karya dengan jenama dan kumpulan peminat yang besar.
“Jenamanya bukan saja popular dan kelompok peminat besar tetapi menjadi pop-culture phenomenon dan mengubah landskap industri animasi tempatan.
“Mereka yang membesar di era 90-an pastinya tahu Keluang Man adalah sebahagian daripada zaman kanak-kanak. Selepas 25 tahun, ia masih dicari, di Tiktok tanda pagarnya mencecah 20 juta tontonan, di YouTube lebih 8 juta.
“Ini menandakan Keluang Man mempunyai impak berpanjangan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
“Semasa peringkat akhir pemilihan semua calon akhir ada session one on one dengan saya, kita cuba babak dan dalam masa sama saya cuba beritahu mereka jenis lakonan yang saya mahukan untuk watak Borhan (Keluang Man).
Manakala bagi Pengarah filem Keluang Man, Anwari Ashraf berkata, Nas-T dipilih daripada lebih 300 calon atas faktor kemampuannya menterjemah penjiwaan seperti yang dikehendaki watak berkenaan.
Tambah Anwari lagi, biarpun ramai yang mencadangkan agar premis filem itu dihasilkan menggunakan teknik penceritaan yang lebih gelap dan matang, namun beliau memilih untuk menghormati penceritaan asal oleh penciptanya, Allahyarham Kamn Ismail.
“Bukan bermaksud filem ini tidak matang tetapi saya percaya dengan tone yang dibawa oleh pencipta Keluang Man.
“Saya juga yakin dengan skrip kita dalam membina jalan cerita yang masih membawa tone asal, tetapi dikontemporarikan mengikut kesesuaian masa kini,” ujarnya.
Sebagai teraju utama filem tersebut, Nas-T menyifatkan proses pemilihan yang dilalui adalah antara yang paling sukar, namun teruja apabila terpilih memegang watak tersebut.
“Ia satu proses yang panjang, paling panjang sepanjang karier saya. Ada empat fasa, ramai pelakon yang hebat cuba nasib jadi saya rasa kerdil.
“Sampai sekarang masih tak percaya saya dipilih, terima kasih atas kepercayaan,” katanya.
Turut diumumkan pada majlis pengumuman pelancaran filem dan pengumuman pelakon berlangsung di ibu negara, pada Selasa adalah Remy Ishak yang membawakan watak Shamsir, Anwaar Beg Moghal sebagai Inspektor Sahab dan Datuk Rosyam Nor sebagai Ahmad.
SUMBER : AWANI