Pada awal dekad 80-an hanya ada dua busker di Kuala Lumpur. Paling aktif ialah Hamden Bolli dan paling unik tentunya dR Sam Rasputin dan The Musafir.
Evolusi muzik jalanan bermula di Wisma Yakin Jalan Masjid India dan Benteng Lama (sekarang stesen LRT Masjid Jamek).
Kemudian pada 1987 muncul acara baca puisi jalanan di Laman Pasar Seni yang turut membawa muzik folk kumpulan Kopratasa.
Bagi peminat blues – Nan adalah penyanyi dan gitaris busker paling popular waktu itu.
Selain Syed Amran Al Yahya yang menyanyi di pada malam hari di Jalan Petaling dan Adi Jagat dan Meor Pesta Jiwa di pedestrian Pasar Seni.
Pada tahun 2000-an muncul gerakan puluhan busker dan menjadi sebahagian wajah seni jalanan di Kuala Lumpur.
Pada dekad 80-an dan 90-an – busking masih dianggap aktiviti mengemis dan kutu-rayau di ibukota. Namun, pada Mac 2013 – DBKL mengiktiraf aktiviti busking dengan mengeluarkan permit sah.
Namun, dalam semua wajah-wajah busker – Selamat Asrin paling unik. Dia satu-satunya busker yang mengunakan mulut untuk menyanyi dan menghasilkan muzik.
Selamat lahir tahun 1968 di Layang-Layang, Johor dan mulai menyanyi di jalanan pada 1983 bermula di Hentian Bas Kelang di Kuala Lumpur.
Selamat muncul sebagai sebahagian simbol sipi-sipi sejarah pembukaan Pasar Seni apabila mempelopori busking di sekitar kawasan aktivis budaya dekad 80-an dan 90-an itu.
30 tahun lalu, selama lebih sedekad – Selamat mewarnai Pedestrian dan Laman Pasar Seni dengan imej, vokal dan lagu-lagu ciptaannya sendiri.
Selamat menyanyi hingga awal Mac 2020. Apabila Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu – Selamat tersangkut di kampungnya.
Hingga kini, kerana busking masih dilarang – anak jati Segamat ini masih tersangkut di kampung.
Bagi peminatnya – walaupun tidak dapat melihat Selamat beraksi di sekitar Bukit Bintang – videonya banyak dimuat naik di Instagram.
“Aku akan balik KL, tetapi sekarang susah sikit,” katanya.
Selamat tidak mahir menulis tetapi rajin mengirim rakaman audio melalui Whatsapp. “Kalau kau rindu tengok IG aku saja,” katanya.
Selamat yatim piatu dan kalau pulang ke kampung dia akan tinggal di rumah pusaka keluarganya. Atau, berjalan ke sana-sini sesuai dengan sikapnya yang super aktif.
Polis di Segamat, Johor Bahru dan Kuala Lumpur sudah kenal akrab dengan Selamat. Sebab dia sentiasa berulang-alik sepanjang tahun dan selalu muncul di tiga kawasan ini.
“Aku ada banyak lagu baru dan patut dah keluar album kedua,” katanya.
Ketika itu saya sempat menemuinya yang bekerja sebagai penari di balik topeng Teletubbies di depan Kedai RM2 berdekatan Bukit Bintang.
“Ehh kau….”
Terkejut setelah dia membuka topeng Teletubbies dan menyergah dari belakang.
“Aku partime menari sini. Empat jam kerja dapatlah RM15,” katanya.
“Kau dah tak busking?”
Dia tersengih: “Sesekali busking dan sekali menari. Sebab aku ada dua bakat.”
Bagi yang kenal Selamat – kalau dia menyebut memiliki 10 bakat pun – itu bukan isu.
Selamat dianggap polos berbual dan guraunya kerap bernada selamba. Cuma, wajahnya paling serius kalau meminta dibelanjakan tiket bas balik kampung.
“Aku nak balik Layang-Layang. Nak rehat sekejap sebab penat duduk KL,” katanya.
Sistem kos balik kampungnya masih sama. Dia akan menaiki bas dari Puduraya ke Seremban dan tiket keretapi ke Layang-Layang.
“Jimat seringgit lebih,” katanya.
Jangan bertekak atau menasihatinya untuk menaiki bas ekpres dari TBS di Bandar Tasik Selatan. Selamat sangat konservatif dengan laluan konvensional yang digunanya sejak dekad 80-an.
Kuala Lumpur menantikan Selamat muncul segera. Apabila busking jalanan dibenarkan nanti, pasti peminat akan ke Bukit Bintang melihat otai busking kembali beraksi.
– Selamat Asrin Legenda Yang Dirindukan –
Sumber Gambar & Video : Instagram Selamat Asrin & Mynewshub.tv
Youtube : Bang Kuchai & Nyamuk Millenium
Selamat semoga Berjaya..Amin