Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan dengan undian suara selepas dua hari dibahaskan di sebalik kontroversi pembentangannya yang dibuat dua kali di Dewan Rakyat dalam dua mesyuarat pada Penggal Kedua, Parlimen ke-15.
RUU itu diluluskan selepas undian suara di peringkat dasar dilakukan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tengah hari ini.
Seramai 27 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang menyaksikan RUU itu menggugurkan klausa generasi penamat rokok (GEG) – antara topik paling banyak disentuh dan dibangkitkan.
Terdahulu, penggulungan RUU itu dibentangkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa jam 12.30 tengah hari.
RUU itu mengandungi Fasal 1 hingga 54 memperuntukkan hal yang berhubung pendaftaran, pengiklanan, kawalan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubung dengannya.
Dalam masa yang sama, RUU itu memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).
RUU ini yang awalnya dikenali sebagai RUU GEG dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.
Ia sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada hari kedua Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang sedang berlangsung, namun ditangguhkan kepada suatu tempoh yang tidak dimaklumkan.
Pada 18 November lalu, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilaporkan berkata peruntukan di bawah RUU itu bercanggah dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.
AGC merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam portal badan pemerhati kesihatan, CodeBlue pada 14 November lalu.
RUU berkenaan dibentangkan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 27 Julai 2022 oleh Khairy sebagai Menteri Kesihatan ketika itu, yang dinamakan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Pada 2 Ogos 2022, Dewan Rakyat bersetuju RUU berkenaan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan, ketika usul itu pada peringkat bacaan kedua.
Bagaimanapun, ia tidak dapat diteruskan berikutan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU). -BH