Puisi karya-karya A Samad Said, Usman Awang sememangnya tidak lenyap ditelan zaman dan masih dikenang-kenang. Tidak dapat dinafikan puisi merupakan susunan bait-bait indah menerusi setiap helaian warkah.
Sebenarnya bukan tinggi laras bahasa yang dicari tetapi ianya adalah ekspresi luahan hati. Dendangan sebuah puisi indah adakalanya dapat mengubat kesunyian pada malam yang sepi. Dalam situasi semasa kini, tiada lagi pesta puisi untuk kita hadiri. Boleh dikatakan kini semuanya dihujung jari, maka muncullah terma baharu video puisi sastera era digital.
Puisi Era Digital
Hanya perlukan gajet, telefon pintar dengan akses internet. Boleh jadi puisi anda popular di ruang media sosial atau anda sekadar menghayati karya-karya puisi yang dievolusikan dengan elemen multimedia iaitu video dan audio bacaan puisi. Semua ini boleh dihayati, ditonton terus dengan hanya beberapa sentuhan dan klik pada skrin telefon anda. Terima kasih kepada pelbagai platform aplikasi media sosial.
Antara yang terus memartabatkan sastera dengan karya-karya puisi adalah Karim Mohd, Aliff Awan, Jack Malik dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama). Jadinya, kita masih berpeluang menikmati sastera, prosa indahnya bahasa dan puisi di zaman digital ini.
Video Puisi
Sekiranya anda tegar melayari media sosial, kemungkinan anda pernah menonton video-video bacaan puisi cinta yang adakala membangkitkan semangat setelah putus cinta. Tapi, anda mungkin tidak mengenali Bella Rosdi. Namun si gadis empunya akaun instagram Bellarossd ini aktif memuatnaik video bacaan puisinya. Video puisinya boleh dikatakan minimalis dan mudah dicerna dengan tema yang semestinya disukai ramai, iaitu cinta. Bukan kemasyhuran yang dipinta tetapi ia seakan sebuah perkongsian untuk membangkitkan semangat bagi yang menonton.
Untuk pertama kalinya, Bella Rosdi bersama dengan videografer Syazwan Misran menghasilkan video puisi berjudul “LARA”. Jangan lupa saksikan karya mereka di akaun instagram Bellarossd dan di Facebook Mykepochi kelak.
Kebangkitan video puisi di Instagram juga membuktikan inilah platform baru mengabadikan karya puisi, sebagai bentuk seni sastera moden. Lonjakan video puisi baru-baru ini yang terdapat di Instagram sememangnya meningkatkan penjualan buku-buku puisi. Ternyata sastera khususnya puisi pastinya tidak akan mati; hanya bahawa mediumnya mungkin berubah sedikit. Diharap apa yang dikatakan video puisi sastera era digital ini membangkitkan kecintaan terhadap puisi seterusnya karya sastera dapat dididik bermula dari kanak-kanak lagi.
Terus bersama www.mykepochi.com