25 Tahun Berlalunya Sejarah Hitam Pembunuhan Beramai-Ramai di Srebrenica, Bosnia
11 Julai adalah tarikh keramat yang sentiasa akan terpahat di hati penduduk Muslim Bosnia meski sejarah hitam yang berlaku meninggalkan trauma yang mendalam.
Sejarah hitam penghapusan etnik yang berlaku di Bosnia & Herzegovina 25 tahun lalu, masih segar dalam ingatan penduduk Muslim negara itu. Saki baki kekejaman konflik juga masih boleh dilihat menerusi tinggalan bangunan musnah.
Kehidupan masyarakat Muslim di Bosnia sangat mencabar meskipun peperangan sudah tiada. Hal ini turut di akui oleh Hazim Turanovic, 71 tahun yang tinggal di bandar Livno, Bosnia Herzegovina.
Katanya, “Etnik Crotia merupakan penduduk majoriti di Livno. Jadi, kebajikan dan hak masyarakat Muslim seperti kami sering diketepikan.
“Setiap kali berurusan, soalan pertama mereka akan tanya kamu daripada etnik mana dan siapa nama kamu? Apabila mereka mengetahui kami bukan daripada kalangan mereka, proses urusan akan sengaja dilambat-lambatkan dan akhirnya permohonan kami akan ditolak.
“Hari-hari yang kami jalani terasa seperti berpuasa meskipun bukan di bulan Ramadan kerana kami sentiasa menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan. Harga barang dan perkhidmatan di sini semuanya mahal. Duit yang ada banyak digunakan untuk menanggung kos rawatan perubatan.”
Ratusan ribu nyawa direkodkan terkorban dalam siri peperangan yang tercetus antara tahun 1992 hingga 1995 mengakibatkan 1 daripada 4 wanita terpaksa menjadi ibu tunggal dan menggalas tanggungjawab ketua keluarga sendirian.
Bukan senang untuk bangkit semula selepas trauma yang dilalui namun kehidupan masih diteruskan demi anak dan waris yang tinggal.
“Saya dan abang dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU). Ayah saya mengalami masalah kemurungan dan disahkan menghidapi gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) serta penyakit mental.
“Ibu juga mengalami tekanan perasaan kerana sejarah lalu. Kesusahan dan penderitaan hidup ketika ini pula menambahkan lagi tekanan sedia ada.
“Kami hanya bergantung hidup atas bantuan kerajaan dan hasil pendapatan ibu yang bekerja dengan menjual barangan terpakai. Meskipun ibu tahu anak-anaknya memerlukan nutrisi makanan yang baik untuk menguatkan sistem imunisasi badan untuk mengelakkan kami daripada mudah jatuh sakit, tetapi apa kan daya ibu tidak mampu untuk menanggungnya sendirian.
“Sukar dan jarang sekali kami dapat menjamah makanan berprotein seperti daging. Mujur, saya dan abang terpilih sebagai penerima bantuan sumbangan daging qurban bagi warga OKU yang dijalankan Islamic Relief. Jadi, dapatlah kami menjamah daging ketika hari raya Aidiladha. Sedikit tapi cukup memadai buat kami,” ujar Sabahudin Barcic, 30 tahun yang tinggal di Tuzla, Bosnia.
Sabahudin antara ratusan ribu lagi penduduk Islam di dunia yang bergantung harap dan menanti dengan penuh pengharapan untuk merasai nikmat juadah daging sekali dalam setahun.