Baru-baru ini di Amerika Syarikat, dilaporkan seorang lelaki berusia 58 tahun menjadi pesakit kedua di dunia yang menerima pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik. Ianya menjadi satu pencapaian terbaru dalam bidang penyelidikan perubatan.
Pemindahan organ haiwan kepada manusia, dipanggil xenotransplantation, boleh menawarkan penyelesaian kepada masalah serius kekurangan pendermaan organ manusia.
Lebih 100,000 rakyat Amerika Syarikat (AS) kini dalam senarai menunggu untuk menerima pemindahan organ.
Kedua-dua prosedur jantung itu dijalankan pakar dari Pusat Perubatan Universiti Maryland, dengan pesakit pertama meninggal dunia dua bulan selepas pemindahan organ itu tahun lalu.
Namun, Universiti berkenaan dalam kenyataan pada Jumaat lalu berkongsi bahawa kematian individu pertama itu disebabkan banyak faktor. Antaranya, keadaan kesihatannya yang lemah sebelum pembedahan.
Pembedahan yang terkini dijalankan pakar dari Sekolah Perubatan Universiti Maryland, Rabu lalu.
Pesakit, Lawrence Faucette, tidak dapat menerima jantung manusia hasil derma individu kerana penyakit vaskular dihadapinya selain komplikasi pendarahan dalaman.
Tanpa melakukan pemindahan percubaan, bapa kepada dua anak dan veteran Tentera Laut itu hampir pasti akan berdepan masalah kegagalan jantung.
“Satu-satunya harapan yang ada ialah dengan jantung babi, xenotransplant. Sekurang-kurangnya sekarang saya mempunyai harapan dan peluang,” kata Faucette sebelum menjalani prosedur itu.
Universiti itu menjelaskan, selepas pemindahan jantung itu, Faucette bernafas sendiri dan jantung baharunya berfungsi dengan baik, tanpa sebarang bantuan daripada peranti sokongan.
“Dia mengambil ubat anti-penolakan konvensional serta menerima terapi antibodi baharu bagi mengelakkan gangguan pada tubuh atau penolakan tubuhnya terhadap organ baharu itu,” jelasnya.
Xenotransplants mencabar kerana sistem imun pesakit akan menyerang organ asing, mendorong saintis cuba memintas masalah itu dengan menggunakan organ daripada babi yang diubah suai secara genetik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, doktor sudah memindahkan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik kepada pesakit mati otak.
Institut Pemindahan Hospital NYU Langone di New York mengumumkan bulan ini, buah pinggang babi yang dipindahkan ke pesakit mati otak, berjaya memecahkan rekodnya selepas ia dapat berfungsi selama 61 hari.
Penyelidikan xenotransplantasi awal bertumpu kepada penggunaan organ daripada primat, contohnya, jantung beruk dipindahkan kepada bayi yang baru lahir dikenali sebagai ‘Baby Fae’ pada 1984, namun bayi itu bertahan hanya 20 hari.
Usaha semasa memberi tumpuan kepada babi, yang dianggap sebagai penderma yang secocok untuk manusia kerana saiz organnya, pertumbuhan pesat dan cepat membiak selain ia sudah diternak secara besar-besaran sebagai sumber makanan. -AFP