Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, membuka tirai pada hari ini dan akan berlansung hingga 28 Mei di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kerajaan Pahang itu boleh diikuti secara langsung menerusi saluran TV1, TV Al-Hijrah dan web TV Jakim serta media sosial JAKIM bermula 9 pagi hingga 4.30 petang bagi hafazan dan disambung pada 9 malam untuk tilawah.
Malah, orang ramai juga boleh hadir ke auditorium dari 9 pagi hingga 11 malam untuk mengikuti majlis tilawah dan hafazan yang akan menampilkan 110 peserta dari seluruh negara itu.
Disamping itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) juga turut menyiarkannya secara langsung di saluran radio masing-masing.
Pada kali ini, seramai 29 peserta, masing-masing 14 qari dan qariah serta seorang johan menunggu qariah menyertai tilawah, manakala 81 peserta bagi hafazan.
Majlis perasmian majlis dengan tema ‘Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati’ akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, malam ini.
MTHQK tahun ini kali ketiga Pahang menjadi tuan rumah selepas kali pertama pada 2011 dan kedua pada 2014.
Sejarah awal Majlis Tilawah Al-Quran bermula dengan Majlis Membaca al-Quran yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) dan julung kali diadakan pada 4 September 1947 bertempat di Masjid Jami’ Abu Bakar Johor Bahru, Johor. Pada majlis ini hanya peserta qari yang mengambil bahagian. Johan untuk edisi sulung ini dikongsi oleh tiga peserta yang masing-masing mendapat markah 84.5%, iaitu daripada Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Majlis Tilawah Al-Quran juga telah menjadi satu tradisi di negeri Kedah Darul Aman sejak tahun 1951 yang mana ianya telah diusahakan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra. Apabila YTM Tunku menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, beliau meneruskan usaha awalnya dengan menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali pertama dengan penyertaan semua negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada 18 Mac 1960M bersamaan 20 Ramadan 1379H.