Siri animasi legenda Malaysia yang menjadi fenomena sejak lebih dua dekad lalu, Keluang Man bakal diangkat ke layar perak dalam versi yang lebih menarik.
Filem live action ini diterbitkan oleh Astro Shaw dan bakal diarahkan pengarah siri High Council dan juga penulis dari filem Polis Evo, Anwari Ashraf Hashim.
Dikatakan filem ini sedang memulakan fasa praproduksi, kini filem Keluang Man sedang mencari bakat yang bersesuaian untuk watak utama.
Oleh itu, pihak produksi sedang mengadakan pencarian bakat fasa pertama bermula 28 Julai sehingga 13 Ogos depan.
Pencarian bakat ini terbuka buat semua warganegara Malaysia, lelaki, berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun, fasih berbahasa Melayu, berperwatakan menarik dan berpersonaliti unik serta mempunyai fizikal yang tegap.
Malah, sekiranya anda mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri, ianya merupakan satu kelebihan.
Bagi yang berminat, boleh layari platform media sosial Instagram Astro Shaw atau Astro Gempak bagi mendapatkan imbasan kod QR untuk menghantar video tentang diri dan personaliti anda serta maklumat lanjut mengenai ujibakat ini.
Sepuluh bakat yang terbaik akan dipilih untuk saringan fasa seterusnya sebelum pihak produksi mendedahkan siapa yang berjaya membawa watak Keluang Man.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, watak ikonik ini amat dekat dengan penonton dan cuba untuk meneroka bakat baru.
“Dalam usaha menghasilkan karya berkualiti, Astro Shaw mengambil langkah untuk meneroka inisiatif ini dengan membuka peluang kepada para selebriti tanah air serta masyarakat umum di luar sana untuk mempamerkan bakat terpendam.
“Kami berharap pencarian ini dapat menampilkan bakat yang menepati kriteria watak adiwira itu,” jelasnya lagi.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official