McDonald’s Malaysia buat julung kalinya menawarkan program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM Tahap 4) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM Tahap 5) kepada 18 alumni Program Perantis Vokasional McDonald’s.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata kesemua mereka yang kini bekerja sebagai pengurus cawangan restoran makanan segera itu mendapat tawaran itu bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perkhidmatan makanan.
Beliau berkata, program diploma yang akan bermula tahun depan itu ditanggung sepenuhnya oleh McDonald’s dan kualiti pendidikan yang diberi adalah setanding dengan pengajian diploma yang ditawarkan oleh kolej serta universiti tempatan lain.
“Kita mengharapkan pada masa akan datang sekurang-kurangnya lima hingga 10 peratus alumni ini berminat untuk menyambung pengajian mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s kali Ke-4 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam pada 25 September lalu.
Dalam pada itu, program Perantis Vokasional McDonald’s merupakan program latihan berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah.
Malah, McDonald’s Malaysia menyasarkan 15,000 graduan menerusi Program Perantis Akademi Vokasional McDonald’s dalam tempoh empat tahun akan datang.
Program ini diperkenalkan pada tahun 2018, merupakan kerjasama McDonald’s Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia berdasarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang telah diperkenalkan Kementerian. Sebaik sahaja belia-belia ini tamat latihan, mereka dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia, dan seterusnya layak mengembangkan lagi kerjaya mereka di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini.
Tambahnya, “Kami juga menggalakkan belia asnaf untuk menyertai program perintis untuk dalam usaha untuk menaik taraf kehidupan seterusnya boleh terus bekerja bersama McDonald’s.
“Belia yang menyertai program ini ditaja sepenuhnya membabitkan elaun bulanan, tempat tinggal, manfaat perubatan dan insurans serta makan minum percuma,” jelasnya lagi.
Kepada para belia yang ingin menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s, sila layari https://www.maukerja.my/mcd/.