Sebuah rumah di tingkat 10 blok 4 terletak di perumahan Desa Tun Razak, Sungai Besi mengalami letupan selepas gas yang digunakan untuk memasak difahamkan tiba-tiba meletup dan terbakar.
Malah, turut dilaporkan serpihan dari letupan berkenaan jatuh ke luar bangunan.
Difahamkan seorang mangsa warga asing mengalami kecederaan parah dan dikejarkan di hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Menurut penduduk kawasan tersebut, banyak kenderaan seperti motosikal dan kereta rosak akibat serpihan dinding yang runtuh termasuk dapur yang jatuh dari tingkat 10.
“Letupan itu sangat kuat seperti letupan bom, malah tingkap kediaman beberapa blok dari sini turut bergegar. Bila kami lihat sebuah rumah terbakar.
Sekarang kami mengambil gambar kenderaan masing-masing sebelum mengalihkannya bagi tujuan tuntutan insuran atas kerosakan,” kata seorang penduduk yang ditemui.
“Letupan terbabit turut membabitkan dua rumah yang terletak berhampiran,” tambahnya lagi.
Malah, turut dilaporkan terdapat seorang mangsa lelaki berusia 32 tahun melecur kira-kira 30 peratus.
“Mangsa terbabit kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan dilaporkan berada di zon merah jabatan kecemasan hospital berkenaan.
“Terdapat 12 motosikal juga rosak akibat kebakaran itu kerana dihempap dinding dari bahagian dapur rumah berkenaan yang meletup runtuh sebelum jatuh dan mengenai motosikal di kawasan terbabit.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya lagi.