Hasrat seorang lelaki yang menjalani perintah sekatan buang daerah (PCO) di Klang, Selangor untuk melarikan diri ke Setiu tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 322.6, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Kerteh di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi, Muhammad Shukri Ramli, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian tangan dan muka.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian mangsa yang sedang diburu polis menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dipercayai dalam perjalanan menuju ke Setiu untuk melarikan diri.
“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan serta merempuh besi penghadang lebuh raya.
“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Hasil pemeriksaan turut menemukan peralatan menghisap dadah dan kita dapati mangsa merupakan PCO yang mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah pecah rumah, curi dan dadah,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official