Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan yang berlansung di Dataran Putrajaya, di sini pada Khamis disifatkan sebagai satu kejayaan dan luar biasa, memperlihatkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, pada tahun ini, bermula secara rasmi sejak jam 8 pagi itu dihadiri lautan manusia, dengan lebih 100,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan umur yang mula berkumpul seawal jam 1 pagi lagi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui Bernama berkata sambutan Hari Kebangsaan ke-66 ini hebat dan luar biasa.
“Terbaik, sambutan (Hari Kebangsaan) amat baik dan luar biasa daripada semua pihak,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memuji setiap persembahan dipamerkan pada sambutan tanggal bersejarah, genap 66 tahun negara mencapai kemerdekaan hari ini.
“Alhamdulillah persembahan sambutan ini memang berjaya dan perlihat perpaduan semua,” katanya.
Antara persembahan menarik adalah segmen cabaran dan ketangkasan yang mengetengahkan kemahiran anggota pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan aksi terjun tepat dari ketinggian 4,000 meter.