Kerajaan Arab Saudi semalam mengumumkan rakyat di lapan lagi negara kini layak memperoleh visa elektronik (e-visa) pelawat, memetik laporan Agensi Akhbar Saudi.
E-visa akan tersedia kepada pelawat dari Albania, Azerbaijan, Georgia, Kyrgyzstan, Maldives, Afrika Selatan, Tajikistan dan Uzbekistan bagi tujuan percutian, perniagaan serta keagamaan (umrah saja), secara tidak langsung menjadikan jumlah negara yang layak mendapat kemudahan tersebut mencecah sebanyak 57 buah negara.
Visa berkenaan akan sah selama setahun bagi setiap individu dan membolehkan beberapa kali kemasukan serta membenarkan penginapan hingga 90 hari.
Selepas program e-visa dilancarkan pada 2019, Arab Saudi mengalu-alukan kedatangan 93.5 juta pelancong pada 2022 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 93 peratus berbanding 2021, sekali gus dapat menjana pendapatan pelancongan sebanyak 185 bilion riyal.
Pada 2022, Arab Saudi telah mengambil keputusan untuk menawarkan e-visa pelawat kepada pemegang visa Schengen, Britain serta Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini digunakan untuk memasuki negara-negara itu sebelum tiba di Arab Saudi, dan kepada penduduk tetap Kesatuan Eropah, negara-negara Arab Teluk Parsi, Britain dan AS.
Pada awal tahun ini juga, Arab Saudi mengumumkan pelancaran Visa Transit 96 jam percuma yang membolehkan penumpang berada di negara itu hingga 96 jam.
Sumber : Saudi Press Agency
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official