Krisis perkauman dan beza agama wabak bahaya media sosial
(Petikan wawancara Segmen Garasi Republic@FacebookSuaraAnakCokit)
Dang Suria Zainuddin Isnin 8 Jun 10 malam.
Wartawan, hos dan kini youtuber di saluran peribadinya, Cerita Kita Cerita Dang Suria – muncul sebagai tamu Garasi Republic pada 9 Jun.
Pada sesi live di Facebook Suara Anak Cokit, Dang Suria berkongsi pengalaman selama dua dekad sebagai orang media.
Namun, pesona utama sepanjang wawancara itu ialah kenyataan Dang Suria mengenai kebimbangannya sebagai seorang ibu.
“Paling saya takut sekarang ialah melihat anak-anak dibesarkan di negara yang penuh dengan sentimen perkauman,” kata Dang Suria.
Selain berkongsi pengalaman melihat kemusnahan Aceh akibat Tsunami 2004 dan musnahnya Beirut dalam Perang Israel Hizbullah pada 2008, Dang Suria melahirkan rasa rimas melihat persekitaran interaksi sosial tanahair.
Walaupun berpengalaman berada di garisan krisis perang, zon bencana alam dan perjalanan merentas zon bekas jajahan komunis Rusia pada 2004 hingga 2008, Dang Suria lebih fokus melahirkan kebimbangannya para isu semasa di peringkat domestik.
“Serangan perkauman dan keagamaan menjadi masalah besar dan kita masih membiarkannya,” kata Dang Suria.
Sebagai ibu kepada dua anak remaja, Dang Suria lebih terarah melihat isu domestik yang dianggapnya memerlukan keprihatinan awam untuk mengubahnya.
“Kita membincangkan soal agama dan kaum hingga ke tahap mengkritik satu sama lain dan dilakukan secara terbuka di media sosial tanpa risau kesannya terhadap mentaliti anak-anak kita,” katanya.
Dalam wawancara 75 minit itu juga, Dang Suria mengakui, kawalan media massa arus perdana terhadap masyarakat sudah melalui era kejatuhan.
“Hari ini netizen mempunyai agenda berita dan isu mereka sendiri tanpa perlu lagi melihat apa yang dibawakan media massa,” kata Dang Suria.
Perbincangan di media sosial yang lebih kritis dan terbuka menyebabkan peranan dan agenda maklumat bukan lagi ditentukan oleh intergriti berita.
Soal sentimen, kata Dang Suria sudah menjadi sebahagian “fakta” yang diperdebatkan secara terbuka.
Malah, kebebasan untuk mencela dan mengkritik tanpa menghormati perbezaan dan kepelbagaian kaum dan agama di negara kita kini satu perkara biasa.
“Saya kurang berminat pada isu global pada masa ini kerana saya melihat isu perkauman dan perbezaan pendapat yang berbahaya sedang meluas di negara kita sendiri.”
Secara peribadi, Dang Suria beranggapan, Malaysia sedang berdepan gelombang perkauman dan sentimen agama yang bakal memberi kesan buruk sekiranya terus dibiarkan.