
Mr Teh guru matematik Darjah 5 dan menjadi guru kelas saya.
Walaupun sudah boleh membaca pada penghujung darjah 4 — kelas saya tetap merudum pada Darjah 5.
Saya jatuh kelas Merah — dari (dua akhir) ke kelas Ungu (terakhir).
Tapi, Alhamdulillah… ketika Darjah 4, Puan Kumari sudah banyak membantu saya mengatasi masalah kesukaran membaca, mengeja dan menulis kerana disleksia.
Saya masuk ke Kelas 5 Ungu dengan sedikit berprestasi. Walaupun, pada awal tahun — saya kurang lancar membaca; tapi, agak bagus dalam matematik.
Nasib saya baik, kerana membesar dengan akhbar Berita Harian — saya ada akses membaca di rumah.
MANA DATANG SURAT KHABAR?
Tahun 70an — ayah saya buruh kasar di MADA, Alor Setar di Jalan Langgar.
Ayah suka baca akhbar; orang Melayu semarhaen mana pun — berita politik adalah minat mereka.
Kata ayah: “Engineer benarkan ayah bawa akhbar Melayu. Dia hanya baca akhbar orang Putih.”
(Sekadar catatan: Secara cerita lisan, Engineer ialah jawatan Ketua di MADA tempat ayah bekerja waktu itu).
Kata ayah — seorang ketua keturunan Cina yang sangat bertimbang-rasa. Selepas waktu bekerja, ayah boleh bawa balik akhbar Melayu miliknya.
Kata ayah: “Engineer baik orangnya. Kalau susah, boleh ketuk bilik dan berjumpa. Boleh pinjam seringgit dua kalau terdesak”.
Masa dapat gaji, boleh bayar semula.
Kata ayah: “Gaji tahun 70an — masih dibayar dalam envelop.”
Jadi, setelah engineer serahkan gaji — pekerja terus bayar hutang. Kalau bulan berikut tetap susah — boleh pinjam lagi.
PROSES MEMBACA AKHBAR
Membaca akhbar yang dibawa pulang ke rumah menjadikan saya lebih pantas menguasai bacaan.
Ketika Darjah 5, bukan sahaja fasih mengeja — malah, saya sudah faham sikit-sikit berita politik.
Tetangga saya di Pumpong — Syed Izham, bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, selalu berkata: “Non, tau banyak benda… mai lah sembang dengan Bang Am.”
Keluarga Syed Izham paling dihormati di kampung kami. Dia berkerja di Lapangan Terbang Kepala Batas.
Syed Izham fasih bahasa Inggeris kerana lulusan Kolej Sultan Abdul Hamid.
BALIK KE TAJUK
Dalam kelas, Mr. Teh berikan saya perhatian. Tiap kali saya menyelesaikan matematik dengan baik — dia berasa hairan: “Kenapa saya di kelas akhir”.
Saya yakin Mr. Teh bercakap dengan Puan Kumari (guru Darjah 4) dan tahu isu disleksia yang melambatkan proses saya membaca.
BERMULA PULA MASALAH PONTENG
Ayah daftarkan saya di Sekolah Iskandar Alor Setar, kerana ketika itu kami tinggal di setinggan Kampung Koboi, Teluk Wanjah.
Apabila gagal bayar sewa — kami kena pindah lagi. Akhirnya, di Pumpong — jarak ke sekolah kena naik bas. Tanpa wang tambang — saya kerap ponteng sekolah.
Jiran kami di Kampung Koboi juga berpindah; keluarga Pak Hasan dan Mak Yam.
Merekalah yang bantu ibu dan bapa saya mendapatkan rumah sewa di Pumpong.

MAK YAM YANG PENYAYANG
Saya sayangkan Mak Yam macam ibu sendiri. Selama membesar berjiran; saya selalu menumpang makan di rumahnya — sejak di Kampung Koboi, sampailah ke Kampung Pumpong.
Walaupun masih kecil; saya boleh melihat kecantikkannya. Wajahnya putih, cakapnya petah dan penyayang.
(Apabila saya dewasa, sekitar awal tahun 2000an — ibu ajak saya menziarahinya. Mak Yam masih di Pumpong. Keluarga kami sudah berpindah ke Flat Mergong).
Masa berjiran; Mak Yam ada empat anak perempuan.
Jadi, saya akrab dengan Pah, Syam dan Norma. Si bongsu bernama Mawar; terlalu kecil kalau hendak dibuat kawan. Kami hidup lasak.
Mawar (dalam usia 2 atau 3 tahun — kerap ditinggalkan, kalau kami merayap ke belukar mencari buah kelapa atau ke Kelab Diraja mencari kerja tambahan sebagai budak penjaga bola tenis).
Mak Yam juga ada seorang anak lelaki dari suami pertama; sangat senior dan saya tak begitu mengenalinya. Namanya Mahadi — saya ada jumpa sekali dua sahaja.
Pada 2000an — waktu menziarahinya — Mak Yam peluk saya sambil menangis.
“Datanglah lawat Mak Yam selalu… Abang Mahadi dah tak ada. Bila jumpa Non… dapatlah Mak Yam lepas rindu pada aruah….”
Aruah ibu saya selalu ingatkan saya mengenai pesanan Mak Yam. Cuma, selepas awal 2000an saya jarang balik ke Kedah.
Jadi, tak pernah lagi lawat Mak Yam sampai dia kembali ke rahmatullah.
Tapi, saya ingat dengan jelas wajahnya. Apa lagi raut mukanya setiap kali memberikan saya makan kalau lapar.
Waktu itu (1975 hingga 1978) Mahadi sudah pergi merantau; jadi Mak Yam tak ada anak lelaki. Maka, kasih-sayangnya tumpah pada saya.
BERKAWAN DENGAN PAH, SYAM & NORMA

Di kampung Pumpong — hanya ada 4 rumah.
Tak ada anak lelaki sebaya saya. Jadi, waktu bermain — saya habiskan dengan tiga anak perempuan Mak Yam.
Budak lelaki 10 tahun — berkawan dengan tidak beradik perempuan yang berusia antara 7 hingga 11 tahun.
Begitulah — seingat saya akan usia mereka.
Satu hari selepas penat mengutip kelapa di hutan — Pah yang paling dewasa mencadangkan.
“Jom… kita pergi kerja kutip bola tenis.”
Kelab Tenis Diraja Kedah — hanya di seberang jalan kampung kami.
MR. TEH MAIN TENIS
Ketika inilah — Mr. Teh (guru kelas) nampak saya. Malah, saya jadi “ball picker” ketika dia bermain.
Upahnya 50 sen. Tapi, kejadian itu menyebabkan, esoknya Mr. Teh panggil saya secara peribadi ke Bilik Guru.
“Kamu kena kerja… itu sebab selalu ponteng sekolah?”
Saya anggukkan kepala.
Terus dia bawa saya jumpa Guru Besar — Mr. Ghulam Rasool.
Mereka berbual dalam bahasa Inggeris. Esoknya, saya diberikan bantuan tiket bas sebagai galakan hadir ke sekolah.
Maka, selesailah isu ponteng kerana masalah ketiadaan tambang bas harian.
PAH, SYAM & NORMA
Kami berempat terus hidup survival.
Walaupun keluarga Mak Yam sedikit senang kerana ayahnya Pak Hassan bekerja di Kelab Tunku — tapi, kami tetap perlu berkerja membantu ibu bapa.
Kami redah hutan dan kutip kelapa bersama; kopek dan makan buah nipah serta bermain dan berlari keliling kampung.
Jumaat dan Sabtu — kami jadi pengutip bola tenis.
Mr. Teh terus bermain. Siapa pun tak pernah tahu — antara pemain tenis dan budak pengutip bola — hubungan di luar gelanggang: kami adalah murid dan guru darjah.
Saya serius kutip bola; Mr Teh fokus bermain. Di luar sekolah — kami punya jalan berbeza.

PINDAH KE JITRA
Saya pindah dari Pumpong ke Jitra pada awal tahun 1979. Berpisah dengan keluarga Mak Yam. Tak pernah jumpa lagi dengan Pah, Syam dan Norma.
Mak Yam dan Pak Hassan sudah tiada. Pergi lebih awal sebelum disusul ibu saya pada 2021.
Mr. Teh juga tak pernah saya temui lagi selepas berpindah dari Sekolah Iskandar ke Sekolah Sultan Ahmad Tajudin di Jitra pada 1979.
Walaupun ketika kecil — hidup terasa sukar; tapi, semua memori ini jadi momen paling berharga sekarang.
“Kita akan mengenal banyak orang hari ke hari; tapi… yang bersama melalui masa sukar adalah kawan yang akan kekal abadi dalam ingatan.”
Peristiwa akan datang dan pergi; hanya kenangan yang indah akan mengejar kita setiap hari.
Semua memori ini datang dengan putaran ingatan yang sangat sentimental. Tak ada rasa sukar. Cuma, pasti membasahkan mata.
Sejak berpisah dengan keluarga Mak Yam pada 1979 — saya tak pernah lagi juga Pah, Syam dan Norma.
Sebelum Mak Yam meninggal dunia — saya sempat menziarahinya sekitar awal tahun 2000an.
