Ibadah korban adalah ibadah yang sangat dituntut dalam Islam bagi mereka yang melepasi syarat-syaray korban. Ibadah korang juga diadakan setiap tahun dan ibadah korban juga antara ibadah yang meriah serta kerap dinantikan oleh umat Islam.
Oleh yang demikian, terdapat banyak pakej-pakej korban yang dijalankan oleh syarikat-syarikat yang menjalakan perniagaan berasaskan ibadah korban. Antara pakej yang menjadi tumpuan adalah pakej yang menawarkan bayaran secara ansuran.
Telah menjadi pertanyaan dikalangan masyarakat mengenai hukum ibadah korban yang menggunakan pakej bayaran secara ansuran. Apakah hukum ibadah korban secara berhutang atau dibayar secara beransuran?
Berikut adalah penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai seseorang yang berhutang untuk melaksanakan ibadah korban.
Secara ringkasnya, adalah tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban atau akikah kerana tuntutan untuk melakukannya adalah pada orang yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri.
Demikian juga kerana Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan dirinya. Namun begitu, sekiranya seseorang yakin bahawa dia mampu membayar hutang tersebut dan tidak akan terbeban dengannya, maka dia diharuskan untuk dia menggunakan pakej akikah dan korban secara ansuran yang ditawarkan.
Untuk huraian penjelasan diatas, berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”
Al-Kauthar; 108: 2
Imam al-Qurtubi menafsirkan bahawa maksud ayat ini ialah pelaksanaan solat sunat Hari Raya Aidiladha dan juga ibadah korban sesudahnya. Selain itu, terdapat juga sabda Nabi Muhammad SAW yang turut menganjurkan amalan berkorban ini, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
Riwayat al-Tirmizi (1493)
Oleh yang demikian, tatkala tiba hari raya korban, sudah tentunya ramai daripada kalangan individu Muslim ingin meraikan hari yang mulia ini dengan turut menyembelih korban sebagai suatu usaha memenuhi anjuran syarak di samping menuruti sunnah Nabi Muhammad SAW.
Perintah untuk mengerjakan ibadah korban ini merupakan sunat muakkad dan ia amat digalakkan ke atas mereka yang berkemampuan agar melaksanakannya. Maksud berkemampuan di sini ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari raya dan hari tasyrik.
Oleh itu, timbul persoalan bagi mereka yang tidak mampu melaksanakannya, adakah dibolehkan bagi mereka untuk berhutang bagi tujuan mengerjakan ibadah korban tersebut?
Pada dasarnya, tuntutan beribadat di dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”
Selain daripada itu, berhutang akan membebankan diri seseorang. Terdapat ancaman yang menunjukkan bahawa roh orang yang tidak melangsaikan hutang akan tergantung daripada tempat yang sepatutnya seperti mana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.”
Riwayat al-Tarmizi (1078) dan Ibn Majah (2413) [Imam al-Tarmizi menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih dalam Sunannya]
Walau bagaimanapun, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetaplah sah disisi syarak. Hal ini kerana, berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban sebaliknya ia merupakan syarat taklif.
Pada masa kini, terdapat beberapa gambaran orang berhutang bagi melaksanakan ibadah korban, antaranya ialah:
1) Berhutang dengan orang lain sejumlah wang kemudian menggantikannya semula sama ada secara ansuran atau secara ‘lump sum’.
2) Menggunakan platform buy now pay later. Seseorang akan berhutang dengan penyedia platform tersebut untuk mendapatkan pakej korban yang disediakan pihak vendor. Kemudian dia membayar secara ansuran kepada penyedia platform buy now pay later.
3) Menggunakan kad kredit.
Pandangan fuqaha telah jelas menyatakan bahawa orang yang berkemampuan adalah orang yang dituntut (sunat muakkad) untuk melakukan ibadah korban dan orang yang tidak mempunyai kemampuan tidaklah dituntut untuk melaksanakannya. Justeru itu, seseorang itu tidak perlu berhutang semata-mata untuk melaksanakan ibadah ini sekiranya tidak mampu.
Walau bagaimanapun, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetaplah sah disisi syarak. Hal ini kerana, berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban sebaliknya ia merupakan syarat taklif.
Secara kesimpulannya, adalah tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban kerana tuntutan untuk melakukannya adalah pada orang yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri. Ia juga kerana Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan dirinya.
Namun begitu, sekiranya seseorang yakin bahawa dia mampu membayar hutang tersebut dan tidak akan terbeban dengannya, maka dibolehkan untuk dia menggunakan pakej akikah secara ansuran yang ditawarkan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official