Sebagai tanda solidariti, kebersamaan rakyat Malaysia bantu penduduk Gaza, filem Gemencheh Boys yang sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara, setiap RM1 daripada setiap tiket dibeli oleh para penonton akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin.
Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, berkata usaha menyalurkan RM1 dari setiap tiket filem yang dibeli dibuat demi meringankan beban rakyat Palestin.
“Inisiatif sumbangan ini diambil bagi membantu rakyat Palestin. Kami berharap usaha ini dapat mempamerkan kebersamaan masyarakat terhadap perjuangan Palestin.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang terkesan di bumi Gaza,” katanya dalam kenyataan.
Inisiatif agihan RM1 daripada tiket menonton filem Gemencheh Boys kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin, dimulakan, kelmarin.
Filem Gemencheh Boys terbitan Astro Shaw bersama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures mula ditayangkan di pawagam seluruh negara, Singapura dan Brunei, sejak Khamis lalu.
Diberi judul Gemencheh Boys, pengarah dan penulis skrip, Jason Chong, mengolah kisah sebenar diceritakan atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang sebelum ini pernah mewakili Malaysia ke Piala Dunia Kriket pada 2019, mengenai pengalaman dilalui dalam memburu impian bergelar ahli sukan kriket.
Malah, pencapaian Shafiq diiktiraf negara apabila merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2017.
Gemencheh Boys berkisar sekumpulan budak kampung nakal digelar ‘Enam Jahanam’ dari Felda Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan, mengejar impian dengan dibantu Cikgu Azman yang mendedahkan mereka dengan sukan kriket.
Filem yang menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan kumpulan pelajar ini bersama Cikgu Azman diceritakan dalam pelbagai emosi.
Gemencheh Boys dibintangi Pekin Ibrahim, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin dan Arumugam Vedan.
Ayuh kita sama-sama tunjukkan sokongan kepada industri filem tanah air sambil membantu saudara Islam di Palestin