Setelah berjaya menganjurkan 22 episod jualan secara langsung melalui Facebook dan meraih RM70 ribu Garasi Republik kini melancarkan platform Garasi TV.
Konsep TV niaga melalui live Facebook akan menyediakan program jualan langsung selama tiga jam sehari bermula 10 malam.
Selain program perniagaan, Garasi TV turut menyediakan program diskusi isu semasa berkonsepkan kisah kemanusiaan, siri laporan jenayah, pengalaman pengembaraan dan alam misteri.
“Kami akan menyediakan tiga jam kandungan perniagaan pada setiap hari Isnin hinga Sabtu. Manakala, dua hari seminggu dengan program bual bicara berkongsi ilmu dan pengalaman selama 90 minit,” kata Pengarah Garasi TV, Aniza Mehboob Shah.
Facebook Garasi TV akan bermula dengan siaran langsung Showcase Fund4Tahfiz pada 9 dan 10 Julai ini sebagai tanda solidariti dengan pentadbir pusat tahfiz.
“Kami memahami kesan Covid-19 juga terbias ke pelajar dan pihak pengurusan tahfiz. Sebagai mencari berkat Allah, Garasi TV memulakan langkah dengan projek amal,” kata Aniza.
Projek Fund4Tahfiz akan disertai artis yang sudi menerima undangan berkolaborasi termasuk Andy Flop Poppy, Ejam Medicine, Daq Mie, To’ki dan Syed Amran Al Yahya.
“Konsep mengangkat kesucian Al Quran bersama Ustaz Dr Ashraf Suarin dan showcase Islami dengan artis tempatan akan disiarkan live di Facebook Garasi TV mulai 9.30 malam,” kata Aniza.
Facebook Garasi Republik akan dilancar dengan jenama Garasi TV mulai 4 Julai dengan identiti lebih happening dan trending.
“Kami menawarkan pakej promosi iklan percuma pada usahawan Bumiputera sepanjang kempen 60 hari pelancaran Garasi TV,” jelas Aniza.
Usahawan Bumiputera yang ingin menyiarkan iklan, promosi lokasi niaga dan paparan produk serta review produk boleh menghubungi admin Garasi TV melalui Facebook.
“Selama 60 hari kami akan membantu secara percuma kempen menyebarkan promosi iklan dengan kolaborasi rakan-rakan Facebook yang menawarkan kerjasama peluasan sebaran atas nama menyokong usahawan Bumiputera,” kata Aniza.
Selain itu, anak muda yang berminat menjadi selebriti Facebook melalui program promosi niaga sentiasa diraikan untuk ikut serta mengembang bakat di Garasi TV.
“Kami tahu negara memiliki banyak bakat muda. Garasi TV sentiasa memberi ruang termasuk mengembangkan bakat hos dan nyanyian di platform TV kami,” kata Aniza.
Anda boleh mengikuti semua perkembangan aktiviti di Facebook Garasi Republik yang akan mula dikenali sebagai Garasi TV mulai 4 Julai ini.
Anda boleh terus “LIKE” & “FOLLOW” page GARASI TV sekarang!