Saingan Piala Asia 2023 di Qatar yang berakhir awal Februari ini semestinya akan dikenang sebagai memori paling indah buat para Ultras Malaya dan juga pemain sayap sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim apabila jaringannya ketika menentang Korea Selatan dinobatkan sebagai ‘Goal Of The Tournament’ Piala Asia 2023 menerusi undian penyokong.
Ia berikutan selepas Faisal berjaya meraih 85% undian dari penyokong secara tidak langsung meninggalkan tujuh pesaing lain sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.
Pengumuman kemenangan itu dibuat AFC di laman sosial badan induk bola sepak Asia itu sebentar tadi.
Gol yang disumbangkan Faisal atau lebih mesra dipanggil ‘Mickey’ dihasilkan ketika mengikat skuad Taegeuk Warriors 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium AlJanoub, berjaya memperdaya pertahanan lawan sebelum melakukan sungkitan cantik menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon Woo.
Peratusan kemenangan itu jauh meninggalkan pencabarnya terdekat, Mousa Al Tamari dari Jordan yang sekadar menerima sembilan peratus undian sementara tempat ketiga menjadi milik pemain Korea Selatan, Son Heung Min dengan tiga peratus.
Namun, menariknya ketiga-tiga jaringan terbaik yang menjadi pilihan penyokong itu hadir daripada pasukan yang berentap dalam kumpulan sama.
Selain Faisal, Al Tamari dan Heung Min, lima lagi pemain turut tercalon untuk anugerah terbabit – Keito Nakamura (Jepun), Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi), Hassan Al Haydos (Qatar), Supachok Sarachat (Thailand) dan Sardar Azmoun (Iran).
Sebanyak 132 gol dijaringkan pada pentas Piala Asia kali ini dan kejayaan Faisal cukup membanggakan apabila diangkat sebagai gol terbaik hasil undian peminat di laman sosial.