Empat daripada 68 stesen udara di seluruh negara menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat, iaitu masing-masing dua stesen di Melaka dan Johor.
IPU tertinggi setakat 8 pagi tadi direkodkan di Bukit Rambai (152) diikuti Bandaraya Melaka (132) di Melaka, manakala stesen di Johor yang mencatatkan IPU tahap tidak sihat adalah Batu Pahat (127) dan Tangkak (109).
Malah, berdasarkan kemas kini di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims) itu turut menunjukkan sebanyak 52 stesen udara merekodkan bacaan IPU tahap sederhana, dan 12 stesen lagi dalam kategori baik.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 di kategori sebagai (baik) dengan warna biru; 51 hingga 100 (sederhana-hijau), 101 ke 200 (tidak sihat-kuning), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat-jingga) 300 ke atas (bahaya-merah).
Kesemua sembilan stesen udara di Lembah Klang merekodkan udara sederhana stesen Batu Muda (71), Cheras (91), Putrajaya (74), Kuala Selangor (63) Petaling Jaya (77), Shah Alam (77), Klang (84), Banting (89) dan Johan Setia MCAQM (75).
Orang ramai boleh merujuk laman web Apims untuk mengetahui tahap IPU terkini.