DANG SURIA DILOKAP

Zainal Rashid AhmadCoretan ZRA11 months ago2K Views

Di pinggir Jalalabad.
Di perbukitan kawasan yang dipenuhi pertempuran di luar perbatasan Kabul.

Sebaik saja melalui pemeriksaan yang ketat di Lapangan Terbang Amman, Jordan — kami keluar dari terminal.

Keadaan di Asia Barat waktu itu (awal Ogos 2006) sangat tegang berikutan perang di Lubnan.

Belum pun 10 minit bergerak meninggalkan lapangan terbang — 2 van dipenuhi polis berpakaian serba hitam — memintas van kami.

Segala macam rifel dan mesin gun dihalakan ke arah van; kami dikepung. Akhirnya diseret ke balai polis dan dikurung dalam lokap.

Saya sudah banyak kali mengembara bersama Dang Suria dan Wan K dalam mengisi pelbagai misi laporan berita di garisan krisis.

Dari Aceh ke Kabul; dari Uzbekistan ke Kyrgystan.

Inilah kali pertama kena ‘kurung’.

Kami disyaki teroris.

MINTA TEH

Dalam lokap setelah lebih sejam dikurung, kami dahaga.

“Dang,” kata saya: “Cubalah minta teh… pujuklah polis….”

Sebelum ke Jordan, ada banyak perjalanan di Asia Tengah — Dang selalu saya jadikan perantaraan kalau ada keperluan atau berdepan masalah.

Dia cantik dan pandai berdiplomasi.

Dang pernah pujuk pegawai tentera ketika kami ditahan di Afghanistan dan dilarang melepasi pos kawalan memasuki Kabul.

Dia juga nantinya akan memujuk pegawai tentera bagi melepaskan kami masuk ke Beirut ketika perang masih berlarutan.

“Ok,” katanya: “Baik… Dang cuba.”

Dalam bahasa ‘ayam itik’ — pegawai polis faham; dibawanya teh dengan cawan. Disediakan dengan penuh tertib.

Walaupun kami dikurung dalam ‘pagar jarang’ — budi bahasa Dang membuatkan kami dilayan dengan baik.

Berjam juga kami disoal siasat dan kemudian dibebaskan. Tiada pertuduhan dikenakan.

Kami teruskan perjalanan darat dari Amman merentas ke Damsyik dan menuju Beirut.

Di sempadan Lubnan — kami dilarang masuk kerana letupan bergema sudah sebulan. Bunyi letupan boleh didengar sampai ke sempadan Syria.

Akhirnya: “Dang,” kata saya: “Rayulah kat pegawai tentera tu.”

“OK” kata Dang.

Selepas dua hari tersekat di sempadan… kerana manisnya rayuan Dang — pegawai tentera Lubnan melepaskan kami dengan pesanan sinis.

Katanya dalam terjemahan mudah: “Kalau kamu semua mati… jangan salahkan saya….”

DANG YANG BERANI TAPI TAKUT ‘HANTU’

Sepanjang 2004 hingga 2008, kami banyak mengembara menghasilkan dokumentari kemanusiaan.

Saya suka usik Dang — sebab dia memang penakut.

Ketika di Aceh sewaktu tsunami 2004; kami tersidai melewati senja di pantai yang masih berbau mayat.

Sambil menunggu kenderaan sampai; saya bergurau.

“Ada orang cerita, malam hari banyak roh berkeliaran.”

Waktu melepasi senja; akhirnya nampak lampu kenderaan sampai; keadaan di pantai sudah pun gelap.

Kami bertiga dengan jurukamera.

Ketika berjalan dalam gelap di pinggir pantai dengan suluhan lampu samar kenderaan — saya terasa ada tarikan berat di belakang badan.

Saya tiba-tiba boleh pula terfikir: “Kenapalah tadi aku boleh cakap pasal hantu.”

Saya rasa tarikan di pinggang seluar makin kuat.

“Abang Nal jangan jalan laju dangat… Dang takut ni….”

Rupanya tangan Dang sedang memegang lubang tali pinggang di belakang denim saya. Dia pegang sebab ketakutan.

Saya tergelak besar; sebab mulanya ingatkan: “Hantu menyeret badan saya.”

HOS YANG TABAH

Pastinya banyak pengalaman kami lalui; Dang Suria kekal sebagai hos wanita paling lasak dan sangat bertoleransi sepanjang berada di garisan krisis.

Dia sanggup makan apa saja; tak mandi berhari-hari atau tidur di bilik-bilik gubuk berdebu ketika terlempar ke kawasan terceruk tanpa hotel atau kamar buat pelancong.

Walaupun cantik — Dang tak pernah serik berkelana sebagai hos dan wartawan.

Menyediakan makanan ‘mewah’ untuk kawan-kawan di Afghanistan.

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...