Pernahkah kamu tahu cara dia berfikir sama seperti susunan muzik?
Fikirannya sangat bertempo dan bahagian yang paling menakutkan dalam otaknya – tentulah ketika muncul “range” yang panjang pada not yang paling tinggi.
Nada aneh itu akan membuatkan tubuhnya menggeletar. Denting muzik dalam fikirannya selalu meraung-raung hingga kepalanya bergegar.
Ya… otaknya seperti Mozart.
Dia boleh mendengar not dan irama lagu yang bergema dalam fikirannya. Secara imaginasi, dia boleh menyusun lagu dan menulis not-not muzik sekalipun ketika tidur.
Cuma, ada waktu-waktunya – dia sangat menderita.
Selalunya – apabila bunyi-bunyi aneh muncul secara tiba-tiba dan bergema-gema dalam fikirannya.
Dia akan panik teruk dan cepat-cepat memadamkan lampu, lalu duduk melutut di lantai.
Sambil memekupkan telinga, dalam gelap pekat begitu – budak lelaki itu akan merangkak laju-laju. Apabila kepalanya terlanggar dinding atau bucu kayu, barulah cepat-cepat dia mengiring tubuh ke lantai dan berbaring mengadap dinding.
Tubuhnya mengerekot dalam gelap sambil tangannya memekup telinga hingga ke pagi. Begitulah penderitaan budak remaja itu sejak 70 tahun lalu.
2
Musim salji selalu tiba pada bulan Jun. Walaupun sebenarnya, salji selalu saja datang sesuka hati tanpa mempedulikan musim-musimnya.
Budak lelaki itu sejak sekian lama selalu saja bingung setiap kali musim salji tiba. Apa lagi kalau terlalu kerap dan sering berakhir dengan kisah yang sangat mengecewakan.
Sejak gadis yang dicintainya pergi dan meninggalkan budak lelaki itu sendirian di depan gudang timah Raja Abdullah – hidupnya mulai berantakan.
(Kalian harus faham, antara muzik dalam kepala dan musim salji bulan Jun – ada cerita lain yang mencetuskan semua keanehan ini).
Kejadian ditinggalkan gadis yang dicintainya terjadi lama dulu. Ketika gudang timah Raja
Abdullah masih ada berdekatan Bangunan Sultan Abdul Samad di sisi Sungai Kelang. Cuma, waktu itu tidak pernah sekali pun musim salji datang.
Pada tahun-tahun selepas perang dan sesudah Jepun pergi – cuaca hanya kekal dengan musim panas yang panjang antara Mac ke Oktober. Musim hujan pula pada bulan Disember.
Sejak kekasihnya pergi; budak lelaki itu jarang keluar rumah. Sangat menyedihkan apabila selama 70 tahun, seorang budak remaja hidup dengan taat dan setia menanti kepulangan orang yang dicintainya.
Cuma, sepanjang penantian yang panjang itu – tentulah budak lelaki itu sentiasa bersedih dan sangat menderita.
Selama 70 tahun itu juga, setiap kali malam datang, lampu rumah tidak pernah dinyalakan. Budak lelaki itu sukakan kegelapan.
Kalau kalian mendengar bunyi seperti dinding biliknya berdentum-dentam – itu tanda, budak lelaki itu sedang dikejar sesuatu. Pastinya, dihambat bunyi muzik yang meraung-raung dalam kepalanya.
Selalunya, kalau budak lelaki itu teruk menderita – itu tanda yang jelas – musim salji akan tiba. Malam itu, selepas matahari terbenam dan usai solat Isyak, dia berbaring di katil.
Dirinya keletihan mengharung hari selasa yang berbahang oleh udara panas; serta jalanraya pula sesak dan bingit dengan bunyi kenderaan.
Tiap hujung bulan, budak lelaki itu akan keluar dan pergi mengutip sewa rumah. Dirinya yang pemalu terpaksa berjalan sendirian dari rumah ke rumah. Selain pemalu, dia juga sering ketakutan.
Hanya sekali pada setiap hujung bulan budak lelaki itu akan keluar rumah. Dia akan cepat-cepat berjalan pulang setelah mendapatkan sewa rumah tinggalan harta marhum ayahnya.
Selebihnya, selama 70 tahun yang panjang itu – dia hanya berkurung di biliknya.
Dunia kota yang sibuk dengan hiruk-pikuk manusia – menakutkannya. Apa lagi selama 70 tahun waktu berlalu – dia tidak peduli pada apa-apa; kecuali selalu berdebar-debar menantikan musim salji tiba.
Malam itu menjelanglah bulan Jun.
Sebaik saja matahari terbenam, bunyi angin mulai merembas laju; menggetarkan kaca jendela. Apabila keadaan malam sudah gelap pekat, cermin tingkap pula mulai meruap.
Petakan kaca jendela sudah berkelarah; tetapi tetap jelas terlihat emping salji yang turun. Menjelang tengah malam, kabus memutih dan salji pun melebat lalu menimbus laman rumput
dan permukaan jalan.
Semuanya kelihatan seperti dataran yang diselimut kain kafan. Manakala, pohon-pohon terbungkus salji dan kelihatan seperti dipakaikan jubah putih yang labuh.
“Aku akan menantimu di simpang jalan sana,” kata si gadis: “Pada satu malam ketika salji turun melebat.”
Cuma, malam ini bukan kali pertama salji muncul; sudah berkali-kali salji datang dan menghilang sejak gadis itu pergi. Ada musimnya, salji turun dua atau tiga kali seminggu.
Ada kalanya, sekadar menipis dan hanya membawakan wap angin yang sejuk. Gabus putihnya ringan dan tipis. Salji melayang bagai emping beras yang terbang keluar dari mulut lesung.
“Tunggulah aku kembali ya…,” kata si gadis: “Kalau benar kamu menyintai aku.” Itu janji 70 tahun lalu. Beberapa tahun selepas Jepun pergi setelah kalah perang.
Gadis itu pergi pada hujung tahun 1950. Tahun yang dipenuhi perdebatan kaum mengenai isu hak kerakyatan. Tahun di mana Onn Jaafar dicela dan dicemuh kerana isu kewargaan kaum bukan Melayu.
Itu tahun yang paling sukar buat pemuda dan gadis itu. Pada satu usia remaja ketika jiwa yang rapuh baru saja pulih daripada ketakutan perang.
Selama empat tahun diburu askar Jepun yang membawa pedang dan senapang. Apabila Jepun pergi, gadis itu terpaksa sekali lagi bersembunyi di bawah kolong rumah budak muda itu kerana Bintang Tiga pula menggila.
“Kau Melayu dan aku Cina,” kata gadis itu: “Ayahku pendatang dan aku berusia tiga tahun ketika dibawa ke sini. Sekarang nasibku belum pasti. Aku mungkin tidak diberikan kerakyatan.”
Pemuda itu berusia 17 tahun ketika gadis itu mahu pergi pada tahun 1950. Ketika krisis kerakyatan sedang tegang.
Dia tidak mengerti apa-apa; fikirannya berkecamuk dan kata-kata si gadis hanya menyebabkan fikirannya terasa berpusing-pusing.
Itulah kali pertama, dalam kepalanya muncul gema muzik yang kuat; nyaring dan menyakitkan telinga.
“Aku berjanji,” kata si gadis. “Aku akan kembali pada satu malam yang dipenuhi salji.”
Pada tahun ketika cintanya sedang hangat dan mekar, gadis itu memilih mengikut ayahnya berpindah ke Singapura.
Sebelum pergi, budak lelaki dan gadis Cina itu, duduk berdua di tebing Sungai Kelang; berdepan
bangunan gudang timah milik Raja Abdullah.
Budak lelaki itu sangat terkedu. Pertama kali, dia seperti mendengar bunyi denting piano yang berbaur irama sedu-sedan; bergema-gema dalam kepalanya sendiri.
“Kita sudah melalui masa sukar bersama-sama. Sejak kecil kita di sini sampai Jepun datang dan menyeksa keluargamu. Selama bertahun-tahun kamu bersembunyi di bawah kolong rumahku,” kata si pemuda.
“Syyy…,” kata si gadis: “Jangan buat aku menangis. Aku tidak mahu menangis di depanmu. Kita sudah lama menderita sejak datangnya Jepun dan kemudian kejamnya Bintang Tiga.”
Malam sudah larut. Di depan gudang timah, ketika arus Sungai Kelang dan Sungai Gombak dipenuhi lumpur selepas hujan – si budak lelaki berasa mahu menangis.
“Tunggulah,” bujuknya sambil memandang ke dalam mata gadis itu: “Isu kerakyatan akan selesai dan keluargamu akan diterima jadi orang Tanah Melayu.”
Gadis manis bermata kecil itu tersenyum. Hujan mulai gerimis dan gadis itu mendongak ke langit.
“Satu hari salji akan turun,” kata si gadis: “Aku akan kembali.”
3
Salji pertama hanya turun 15 tahun kemudian. Pada malam 7 Ogos 1965. Pada hari Singapura keluar meninggalkan Malaysia. Malam yang benar-benar membeku.
Mula-mula salji kelihatan seperti debu gabus putih yang diterbangkan angin. Sejam kemudian, bumi pun memutih dan selaput salji menutup bumbung-bumbung rumah di seluruh Jalan Raja Abdullah.
Apabila melihat salji turun dan sebaik saja budak lelaki itu yakin yang memutih turun dari langit itu benar-benar salji, segera disarungnya baju.
Dicapainya payung dan hanya menyarung selipar cabuk, dia berlari merentas jalan di sepanjang belukar tepi sungai menuju ke gudang timah Raja Abdullah.
“Pasti dia kembali,” bisik hatinya sambil berlari laju: “Akhirnya… selepas 15 tahun, salji turun juga.”
Itulah malam pertama salji tiba dan merembas dengan lebat sekali. Ketika dia berlari merentas Jalan Raja Abdullah ke Jalan Campbell dan menyusur Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke gudang timah, salji makin lebat dan angin pun kencang.
Kakinya yang hanya berselipar getah meredah tompokan salji separas buku lali. Manakala seluar dan baju tipisnya basah lencun dek cairan salji yang jatuh ke tubuhnya yang hangat.
Sekali lagi, budak lelaki itu mendengar gema lagu yang indah dalam kepalanya. Susunan denting
piano yang merinding; dengan irama yang halus dan lembut sekali. Nada yang indah dek mekarnya rasa rindu mahu bertemu kekasihnya.
Budak lelaki itu tiba di tebing sungai dan termengah-mengah berdiri berdepan bangunan gudang timah. Suasana gelap-gelita tanpa sebutir pun cahaya. Salji yang melebat dan angin yang kencang menambahkan lagi kekaburan matanya yang liar mencari susuk tubuh kekasihnya. Budak lelaki itu berdiri tepat di tempat kali terakhir bertemu – sebelum kekasihnya pergi.
“Kalau kamu ada di sini,” jerit budak lelaki itu: “Sambutlah launganku. Sudah lima belas tahun aku menantimu.”
Di bawah salji tebal budak lelaki itu melaung dan melaung. Pada malam pertama salji turun membadai. Laungannya melenyap pergi dan ditelan wap dingin. Sisa suaranya lupus dibawa pergi arus Sungai Kelang yang separuh membeku.
4
Sejak malam 7 Ogos 1965, musim salji pun datang saban tahun. Malah, kerap saja salji turun sesuka hati pada malam hari. Hingga pada tahun-tahun seterusnya, tiap kali salji datang, budak lelaki itu pasti akan berlari semahu-mahunya menuju ke simpang jalan hingga sampai ke depan bangunan gudang timah.
Akhirnya – masa pun berlalu. Tahun demi tahun hingga bangunan gudang timah milik Raja Abdullah sudah tidak di situ lagi.
Jalan menjadi sibuk dan budak lelaki itu mula melihat Kuala Lumpur yang pantas berubah. Munculnya bangunan-bangunan baru di sepanjang jalan serta ramainya manusia yang lalu-lalang.
Masjid Jamek yang dibangunkan pada 1909 kini ketara indahnya. Pada malam hari, ketika salji melebat dan lampu-lampu jalanan menerangi sepanjang simpang Sungai Gombak dan Sungai Kelang.
Di bawah gabus salji yang lebat, dia hanya termanggu di jambatan kecil Jalan Kasturi. Atau, menggigil ditelan cuaca sejuk di atas jambatan Jalan Tun Perak.
Itulah dua jambatan tempat dirinya sering mundar-mandir sepanjang malam sambil menunggu kekasihnya muncul dalam lebatnya badai salji.
“Aku di sini,” jeritnya: “Kalau kau ada, tolong dengarkan. Aku sudah menunggumu begitu lama….”
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, setelah hampir setengah abad menanti – suara jeritannya sering berakhir dengan sedu-sedan.
Dia akan terduduk di jalan berdekatan jambatan Kasturi; atau di tebing tembok Bangunan Sultan Abdul Samad – mencari dan mencari; kekasihnya yang tidak pernah kembali.
(Kalian harus tahu – tahun ini 2020 dan sebentar lagi musim salji akan tiba. Budak lelaki itu akan kembali menanti dan menanti. Dia percaya – kekasihnya akan kembali pada tahun ini).
“Dia akan pulang menjadi kembang mawar di bawah badai salji.”
Sejak seminggu lalu – denting piano dalam kepalanya menyanyikan lagu yang indah. Nada yang lembut dan lunak dan budak lelaki itu terasa sangat nyaman sekali.
Akhirnya, salji pun turun. Pada bulan Jun yang indah. Setelah berbulan-bulan Kuala Lumpur kesunyian kerana tiga bulan berkurung. Pada tahun wabak maut sedang melanda dan enam juta nyawa dijangkiti penyakit aneh di seluruh dunia.
(Budak muda itu tidak pernah mengerti akan semua ketakutan itu. Bukankan selama 70 tahun – dia memang hanya bersembunyi di rumahnya?)
Sebaik saja matahari terbenam – cuaca pun cepat-cepat mendingin. Suhu meranap turun dan emping salji pertama bertebaran di langit sekitar jam 9 malam.
Ketika rembas pertama muncul – angin membadai kencang hingga tingkap kaca biliknya bergegar-gegar.
Bayang-bayang salji yang melebat nampak jelas bertaburan di luar kaca jendela. Di bawah lampu jalanan – budak itu nampak betapa cepatnya pohon-pohon menjadi putih bagai dipakaikan jubah. Laman rumput dan muka jalan ikut dibalut salji.
Denting piano datang lagi; lembut dan lunak sekali.
Budak lelaki itu mencapai baju tebal, seluar dan kali ini memakai sepatu getahnya. Dia tahu – musim salji kali ini sangat luar biasa.
Sambil membuka pintu dan melihat ke luar laman – budak itu tersenyum. Dirinya sangat menikmati alunan denting piano yang beralun dalam kepalanya.
“Aku yakin, kau ada di sana,” bisik hatinya.
Seperti selalu, budak itu pun berlari merentas jalan Raja Abdullah dan memintas di Jalan Masjid India lalu tiba di Jalan Tun Perak.
Lampu-lampu jalan sangat malap dibungkus lebatnya gabus salji yang tebal. Bunyi angin membadai terdengar kuat; membidas dinding-dinding bangunan di sepanjang laluan.
Di tebing Sungai Kelang berdekatan jambatan Jalan Hang Kasturi – budak lelaki itu berdiri mengah; memandang kiri dan kanan jalan.
“Hei!” Laung budak muda itu: “Tahun ini genap 70 tahun aku menantimu.”
Sambil berdiri mengadap Sungai Kelang dan salji makin melebat turun, budak itu tidak pedulikan angin kencang yang membadai.
Dia memandang ke kiri dan kanan jalan. Meskipun semua pemandangan tidak lagi sama seperti tahun ketika kekasihnya terpaksa pergi ke Singapura.
Lama dibiarkan tubuhnya membeku.
“Aku tahu, kali ini kau pasti muncul,” katanya lagi: “Aku sudah lama menderita….”
Ketika suaranya mulai sebak dan airmatanya ikut melimpah dalam tempias salji – budak lelaki itu berasa mahu menangis semahu-mahunya.
Cuma, ketika hampir rebah dan mahu melutut di muka jalan – ada sesuatu yang menyentuh pundaknya.
“Hai….”
Budak lelaki itu segera berpaling; seorang wanita tua dengan wajah pucat pasi berdiri di belakangnya.
Budak lelaki itu dapat melihat dengan jelas, kerutan pada wajah wanita itu.
Dia dapat merasakan betapa dirinya kenal wanita itu. Cuma, mengapa terlalu tua dan sangat menderita?
“Wah…,” kata wanita itu: “Kamu nampak masih seperti dulu. Tampan dan penyabar serta tidak sedikit pun dimamah waktu.”
Budak lelaki itu terdiam; dalam fikirannya tidak bergema apa-apa pun nada; selain rasa sunyi dan betapa bekunya waktu.
“Aku…,” kata wanita itu: “Akulah yang kau tunggu selama ini.”
Budak muda itu segera tersenyum dan matanya nampak menyinar dibawah suluhan lampu jalan.
“Akhirnya kamu datang juga,” kata budak itu.
“Ya…, cuma aku tak pasti. Sama ada kamu dapat melihat aku atau apa. Aku sudah tua dan rasanya sudah berminggu-minggu aku terbaring di hospital.”
Mata budak lelaki itu berkaca-kaca. “Mengapa?” Tanyanya.
Wanita itu tersenyum: “Aku sudah tua. Aku sudah memiliki empat anak dan sembilan cucu. Barangkali, sudah punya cicit juga.”
Budak lelaki itu terdiam; dan kali ini dia benar-benar menangis. Suaranya tersedu-sedu.
“Sudahlah…,” kata wanita itu: “Selepas ini, jangan tunggu aku lagi. Teruskan hidupmu dan aku mungkin sudah mati sebenarnya.”
Salji makin melebat dan angin menderu laju.
“Kamu terlalu setia,” kata wanita itu: “Sebab itulah, waktu tidak sanggup memamah usiamu. Lihat saja… kamu tetap sama seperti dulu.”
Budak lelaki itu terus menangis semahu-mahunya.
Salji makin melebat dan Sungai Kelang mulai membeku.
“Aku takkan kembali lagi….”
Budak lelaki itu hanya berdiri kaku; melihat wanita tua itu berjalan perlahan-lahan dan menghilang dibalik kemalapan lampu-lampu.
(Begitulah ceritanya. Saat cinta pun mati pada hari salji pun pergi).
Kiranya watak lelaki setia yg menunggu kesekian lama kekasihnya ini adalah Mel Gibson kerana “Forever Young”. Tak gitu gamaknya.