
SHAH ALAM, 21 Feb 2026 – Dalam semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan, Mardhiyyah Hotel & Suites meneruskan tradisi tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran Majlis Nur Kasih Ramadan yang menghimpunkan anak-anak yatim dan golongan asnaf dalam sebuah majlis berbuka puasa penuh makna.
Program yang berlangsung di Dewan Perdana hotel berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Abadi, bertujuan mengeratkan ukhuwah komuniti serta membantu golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Pengarah Urusan Mardhiyyah Hotel & Suites, Dato’ Seri Hj Mohamed Rafik Hj Mohd Idris, penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan kurang berkemampuan, malah memberi peluang kepada kakitangan hotel untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti kebajikan.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Abadi berkata pelbagai perancangan telah disusun bagi memastikan program CSR tahun ini memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kami ingin menyantuni golongan diraikan dengan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa kepada para tetamu serta mengimarahkan momen berbuka puasa bersama-sama sepanjang Ramadan,” katanya.

Seramai 300 tetamu hadir memeriahkan program tersebut, termasuk anak-anak yatim daripada Persatuan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai Kuang dan Pertubuhan Kebajikan Al Kausar Bangi Selangor.
Turut hadir ialah wakil keluarga asnaf, kumpulan masjid dan surau, rakan media, kakitangan hotel serta jawatankuasa Yayasan Abadi.
Selain menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan pihak hotel, anak-anak yatim dan golongan diraikan turut menerima sumbangan dana kebajikan serta duit raya sebagai tanda keprihatinan penganjur.

Majlis turut diserikan dengan sesi tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud, yang menekankan kepentingan berkongsi rezeki, memperkukuh ukhuwah serta menghayati nilai keinsafan sepanjang bulan Ramadan.
Penganjuran Majlis Nur Kasih Ramadan ini diharap dapat terus menjadi platform untuk memupuk semangat kebersamaan dalam masyarakat selain menyemai nilai kasih sayang terhadap golongan yang memerlukan.