Kabelisme

Sonny IkmalKaryaCerpen16 hours ago2K Views

1

Di sebuah bilik suis lama yang berhabuk, dua kabel bersahabat sejak kecil.

Yang pertama kabel merah, SM- berbalut merah terang, tebal, keras dan berat. Dia dikenali sebagai keluarga besar HV Underground Cable, kabel bawah tanah voltan tinggi. Semua orang tahu, keturunan kabel merah ini “berdarah besar”. Dia dari keluarga ternama, bukan kabel biasa-biasa. Laluan hidupnya sudah siap ditanam kemas, lengkap dengan konkrit dan pelan kejuruteraan.

Yang kedua, SB- biru cair, nipis sedikit, fleksibel, dan sering dibengkokkan ke sana sini. Dia bukan kabel luar biasa, namun arusnya stabil dan aliran konduktornya bersih. Yang pasti SB ni, biasa-biasa tapi tahan lasak.

Sejak di tapak latihan awal, SM mudah sahaja disambung ke sistem terbaik. Sekolah bagus, asrama berhawa dingin, laluannya sempurna tanpa gangguan. SM tidak gagal, tapi juga bukan yang paling cemerlang. Namun setiap kali ada masalah, akan ada tangan-tangan tak kelihatan membetulkan sambungannya. Sempurna.

SB pula diuji voltan demi voltan. Kadang panas, kadang hampir terbakar. Ada masa hampir dilupakan di sudut papan agihan elektrik. Tapi dia belajar menyesuaikan diri rela dilentur, sabar sentiasa agar dapat bertahan lama. Demi kekal relevan demi survival dunia kabel yang makin mencabar.

“Rezeki aku macam ni,” kata SM suatu hari.
“Aku kerja keras!” balas SB perlahan.

2

Masuk alam pekerjaan, cerita lama berulang.
SM terus disambung ke panel utama dengan jawatan strategik, projek besar, bilik kawalan bercahaya seterang-terangnya. Namanya terpampang pada lukisan teknikal walaupun arus sebenar banyak ditampung kabel-kabel kecil yang lain.
Ya, SM sangat selesa. Popular.

SB pula bermula di lorong kecil. Projek-projek kecil dengan kebanyakannya sambungan sementara. Tapi dia naik perlahan, lewat sedikit, tapi setiap sambungan dibuat sendiri langkah demi langkah tanpa pintasan. Penuh hati-hati. Perlahan tapi pasti, pasti sempurna.

3

Langit tidak selalu cerah, sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Dunia kabel bergolak, dilanda gelombang protes. Kuasa keturunan kabel merah dipersoalkan setelah sekian lama memegang kuasa. Dunia kabel berubah 360 darjah.

Satu sistem baharu diperkenalkan.

NEXAVOLT – Smart Superconducting Energy Network kini menguasai.

Lebih pantas. Lebih cekap. Lebih pintar.
Tak perlu kabel tebal semata-mata, tapi kabel yang faham sistem.

Satu demi satu, kabel lama mula diputuskan, dilupuskan dan dihancurkan.
Termasuk keturunan SM, HV Underground Cable.

SM kaku, terdiam dan terduduk putus harapan fikir apa cara lagi demi survival. Laluan yang dulu tiada liku, kini buntu sebuntu-buntunya. Kabel sebesar mana pun, jika tak relevan, akan dipotong, dilupus dan dihancurkan juga.

SB pula yang sekian lama diuji, lama belajar, buat terus cepat menyesuaikan diri. Dia faham logik baharu NEXAVOLT, membaca arus, mengurus rangkaian, dan akhirnya terus menguasainya.

4

Buat pertama kali, SB berada di bilik kawalan. SB menguasainya,

Di situlah kitaran bermula semula.

SB membantu keluarga terdekatnya.
Menyambung rakan baik ke sistem.
Memberi laluan mudah kepada jiran dan kenalan.

“Bukan guna kabel,” katanya.
“Ini sekadar bantu yang susah dan memerlukan. Macam aku dulu terkapai-kapai, tak ada kabel besar nak tolong.”
“Merdeka? Dalam dunia kabel tak ada istilah merdeka. Gelap dan sempit. Merdeka apa?”

5

Kini SB mengetuai bilik kawalan.

“Mungkin inilah Merdeka sebenarnya!” SB puas mengecapi kejayaan ini.

Panel kembali penuh dengan wajah-wajah dikenali.

Di sudut bilik suis lama, SM memerhati. Dia tersenyum sinis. Dia ingin mulakan langkah. Guna kabel yang ada. SB adalah kenalannya, takkan tak boleh membantu.

Rupanya, bukan kabel yang salah. 

Cara mudah. Tukar warna, segalanya tercapai. Bagi SM perjalanan tak penting, destinasi lebih penting.

Dan arus itu terus mengalir, mengikut siapa yang pegang suis.

SB kini berkuasa, kelak? Tiada siapa yang tahu. Kecuali apabila semua kabel terbakar, akibat litar pintas. Cumanya, hati-hati guna kabel.

Leave a reply

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...