
Seni sering dilihat sebagai hobi sampingan, bukan laluan kerjaya. Namun menurut Pengerusi World Youth Foundation (WYF), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali, tanggapan itu perlu diubah, khususnya dalam kalangan belia.
Pandangan itu dikongsi beliau ketika ditemui dalam podcast “Ada Skill Semua Jadi!” bersempena Program Apresiasi Seni Karikatur Sasterawan Negara yang berlangsung di Gallery 3D World Youth Foundation, Banda Hilir, Melaka.

“Walaupun karikatur ini nampak ringkas, sebenarnya ia membawa makna yang sangat mendalam dan sarat dengan cerita serta latar belakang tersendiri,” jelas beliau.
Datuk Mohd. Ridhwan mengakui bahawa seni sering dipandang rendah dan dianggap tidak menjamin masa depan, terutama oleh ibu bapa. Namun realitinya, nilai seni bersifat subjektif dan bergantung kepada bagaimana ia difahami dan dihargai.
“Ada karya seni yang kita sendiri sukar faham, tetapi orang sanggup membayar dengan harga yang tinggi. Nilai seni itu tidak boleh diukur dengan satu kayu ukur sahaja,” katanya.
Menurut beliau, perkara paling penting ialah memastikan belia yang mempunyai bakat kreatif diberi ruang untuk mengekspresikan idea dan jiwa mereka.
Mengulas soal TVET (Technical and Vocational Education and Training), Datuk Mohd. Ridhwan berpandangan seni karikatur dan ilustrasi boleh dikategorikan sebagai satu bentuk kemahiran.
“TVET memberi peluang kepada mereka yang mungkin kurang cemerlang akademik, tetapi mempunyai kemahiran. Karikatur juga adalah satu skill yang boleh menjana pendapatan,” ujarnya.
Beliau menambah, dunia animasi, ilustrasi dan reka bentuk karakter hari ini bermula daripada asas lukisan dan karikatur. Apabila karakter diterima dan digabungkan dengan jalan cerita yang kuat, ia berpotensi menjadi sumber pendapatan yang mampan.
Sebagai Pengerusi WYF, Datuk Mohd. Ridhwan menegaskan peranan organisasi itu sebagai platform terbuka untuk semua belia tanpa mengira latar belakang.
“Apa yang membezakan kita bukan siapa kita, tetapi peluang yang kita terima. Di World Youth Foundation, peluang itu kita mahu bagi sama rata,” katanya.
WYF berhasrat menjadi ruang sokongan agar belia dapat saling membantu, berkongsi idea dan mengatasi cabaran bersama.
Mengakhiri perbualan, beliau mengajak orang muda hadir ke Pameran Ekspresiasi Seni Karikatur Sasterawan Negara di Gallery 3D World Youth Foundation, Bandar Melaka, yang berlangsung sehingga 31 Disember 2025.
“Datang dan hayati karya-karya ini. Banyak yang boleh dipelajari, bukan sahaja tentang seni, tetapi tentang kehidupan,” katanya.
Bagi belia yang meminati seni dan kemahiran kreatif, pameran ini membuktikan bahawa seni bukan sekadar hobi tetapi ia boleh menjadi laluan masa depan.