ZURAINI MUNTAH DI DALAM KELAS

Team KepochiCoretan ZRA9 months ago2K Views

Di pintu masuk SMSM; walaupun hanya setahun di sini (1980) -- ia momen penting zaman kanak-kanak saya.
Kembali ke bilik Tingkatan 1A.

Dari Darjah Enam Sekolah Sultan Ahmad Tajuddin Jitra, saya pilih ke Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Seri Mahawangsa (SMSM).

Alasannya mudah; sekolah dekat dengan rumah saya di Berek MADA Batu 13.

SMSM masih sekolah campuran lelaki dan perempuan; tetapi, di barisan belakang — dibenarkan budak-budak lelaki duduk bersama.

Jadi, saya lega; sebab boleh pilih duduk di barisan belakang dengan lingkungan budak lelaki. Antaranya, Rusli Ariffin dan Azhari Khalid.

Kawan Siam saya Prasat Swanmani (asal Guar Napai) Muhamad Arof Darus dan Jaafar (asal Malau) serta Fadzlisham dan Azani Lat (budak Kampung Lama) — kenalan baru yang duduk di barisan tengah.

Manakala, Suria Harun di depan. Dia Ketua Kelas dan Zuraini Mansor (Penolong Ketua Kelas) di barisan tengah kelas.

Saya ingat pada Sutina; gadis pendiam dari Guar Napai, kawasan pedalaman yang ramai pelajarnya datang ke SMSM.

Walaupun jarak gadis ini dekat dengan saya; tak pernah sekali pun saya ganggu dia. Sebabnya mudah; Sutina baik dan pendiam. Jadi, pilihan paling budiman — tentulah menghormatinya.

Arof, pelajar pandai (sekarang Pengarah PTG Kedah) di kalangan budak lelaki; Suria pula yang paling pandai di kalangan pelajar perempuan.

Cuma, macam biasalah; budak perempuan banyak aturannya. .

“Hei… diamlah….”

Saya akan ingat suara Suria Harun; ketua kelas bertubuh kecil molek — tapi, selalu saja menoleh ke belakang menyuruh kami diam.

Prasat paling suka bercakap; walaupun duduk di depan.

Kalau Suria bersuara tegas; kami mengejek Prasat secara jenaka: “Hei budak Siam, kau jawab sikit.'”

Hanya Prasat yang berani menjawab arahan Suria.

Aura pelajar yang pandai sentiasa terserlah. Kami budak lelaki di belakang kelas — walaupun nakal, takkan berani menjawab teguran Suria.

Kami hanya mengomel; separa mengumpat kerana berasa kurang senang diarahkan diam.

Kenapa kami tak berani jawab?

Jawabnya mudah; sebab Suria ada aura kepimpinan.

Dia sentiasa bercakap dengan nada serius; matanya tajam memandang kami. Suaranya tegas dan tiada toleransi.

Apatah lagi, Suria memang pandai dalam kelas. Jadi, kita budak lelaki — senakal mana pun — akan ada rasa malu-alah untuk membantah.

Penggal demi penggal persekolahan pun berlalu — berjalan satu demi satu; dengan Suria, Arof dan Zuraini mendominasi kedudukan terbaik.

Saya, Rusli, Azhari dan Fadlisham sentiasa OK saja. Apa pun keputusan peperiksaan; sekalipun dapat nombor corot… bagi kami — itu bukan isu.

HARI SUKAN

Itulah hari paling dinantikan budak lelaki; kami gila bersukan.

Kami main bola sepuasnya. Atau, berada di tepi padang bersorak — setengah histeria menyokong pasukan sekolah.

Apatah lagi kalau perlawanan bolasepak antara sekolah peringkat MSSD.

Kami berdiri di tepi padang dan kagum melihat aksi bintang-bintang lebih senior.

Saya ingat nama Rusman Che Ros dan Fazil Matenda; bintang bolasepak yang lebih senior.

Sampai sekarang, saya masih ingat — Fazil Matenda dengan tandukan terbangnya ketika menjaringkan gol bertemu Sekolah Tunku Bendahara.

Suria Harun aktif bola jaring (ada kala dia bermain bola keranjang pada hari cuti di Kompleks Belia).

Cuma, kerana Suria sangat serius; pada hari sukan, kami lebih menumpukan perhatian pada kakaknya; Suraya Harun yang tinggi lampai dan atlit lompat tinggi.

(Saya tulis dengan nota khas: Suria Harun sangat cantik. Gadis bertubuh kecil dan berkulit putih; matanya bulat bercahaya.

Tapi, tak seorang pun berani mengganggunya. Itu kelebihan budak perempuan kalau rajin dan berkepimpinan. Kita budak lelaki jadi hormat).

Zuraini Mansor — orang Teluk Malik; Penolong Ketua Kelas yang lebih diplomatik. Mudah tersenyum dan agak ramah.

Tapi, tak siapa pun akan memikatnya kerana dia juga pelajar yang pandai. Budak lelaki di SMSM dalam kelas saya — tak akan berani mengusik pelajar berprestasi.

Kami cenderung lebih heboh bersukan; atau, berebut ke kantin apabila loceng waktu rehat berbunyi.

Kalau ada perlawanan, kami gigih bergegas ke padang bola menyaksikan perlawanan pasukan sekolah beraksi.

Zaman ini kita masih minum air dari pili sekolah. Tak ada hal sebab airnya percuma😄.

SATU HARI ZURAINI DEMAM DAN MUNTAH

Pada satu hari; (saya masih ingat wajah Zuraini yang merah tanda demam) — dia duduk selang satu barisan dari meja saya; hari itu jelas terlihat — dia sangat lesu.

Waktu itu, kelas sedang berjalan dan Miss Gan sedang mengajar. Tiba-tiba, Zuraini muntah.

Satu kelas beri perhatian; kami jadi kasihan sebab dia seharian memang sudah lemah dan asyik melekapkan muka ke meja.

Miss Gan minta kawan-kawan bawa Zuraini ke bilik rehat.

“Ada sesiapa boleh cuci muntah?” Tanya Miss Gan.

Saya angkat tangan; bukan sebab hero — tapi, kerana kasihankan Zuraini. Teringat sikap baiknya yang ramah dan suka tersenyum — walaupun, kami budak nakal dalam kelas.

Saya belajar hanya setahun di SMSM. Banyak kenangan yang selalu merunut dalam ingatan.

Saya simpan sepanjang perjalanan menuju usia dewasa. Malah, sampailah sekarang tak pernah melupakan momen-momen indah selama belajar di SMSM.

Selepas lama merantau ke Kuala Lumpur sejak 1994 — saya hanya balik ke Jitra pada 2015 sebagai tamu di Masjid Syarifah Fatimah, Kamunting, Jitra.

Saya dijemput berkongsi pengalaman ke Palestin sempena sambutan Israq Mikraj.

10 tahun kemudian, saya balik lagi ke Jitra (2025) — bagi menyiapkan bahan-bahan tulisan untuk buku “Memori Masa Kecil”.

Saya kunjungi beberapa lokasi pada 3 dan 4 Februari lalu.

Di pintu bilik darjah; rentetan kenangan bergerak melintas ingatan.

CIKGU ZAINOL IDRIS

Dia guru kelas dan mengajar Bahasa Malaysia. Dia penulis dan aktivis teater terkenal di Kedah.

Justeru, saya berasa sangat terharu; pada 2015 selepas 35 tahun menjadi muridnya; kami sama-sama menerima Hadiah Sastera Utusan.

Cikgu Zainol menerima hadiah bagi kategori puisi: “Di Lengkung Langit Biru”.

Saya menerima hadiah bagi kategori cerpen: “Dah Naik ke Langit Tak Reti Turun ke Bumi”.

Ketika saya dijemput menyampaikan ceramah Palestin di Masjid Syarifah Fatimah (2015) — saya nampak Cikgu Zainol hadir.

Saya peluk erat-erat tanda menghormatinya.

Sebaik saja masuk ke dalam kereta; saya menangis sepuas-puasnya. Saya hargai jasanya; dia guru yang pendiam tetapi artistik.

Pada hari itu juga — saya berasa lega; di pekarangan masjid, setelah begitu jauh masa berlalu — saya berkesempatan bertemu guru yang mengajar kami menyanyikan lagu “Seroja”.

Lagu ini saya tak begitu minat; tetapi, setiap kali mendengarnya, saya akan ikut menyanyi dalam hati; tanda kenangan indah belajar di Tingkatan 1A SMSM.

“Mari menyusun seroja bunga seroja

Hiasan sanggul remaja puteri remaja

Rupa yang elok dimanja jangan dimanja

Pujalah ia oh saja.. sekadar saja….”

Bertemu kawan-kawan. Datuk Arof di sebelah kanan. Terima kasih Fazli (pemilik Mini Cafe) di Kampung Lama, Jitra — kerana sudi meraikan saya.

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...