
Inilah foto paling ‘selamat’ dari kekangan ‘had akses’ di media sosial.
Saya menyiarkannya sebagai tanda — agar kita tak lupa krisis di Tanah Jauh kini memasuki 458 hari.
Pada Jumaat, Sabtu dan Ahad; angka syahid 224 nyawa.
Kekejaman berleluasa di seluruh Tanah Jauh dengan siri pembantaian di utara terhadap semua hospital dan bangunan bekas hospital.
Ia tanda pengusiran besar sedang dilakukan sebagai usaha musuh untuk mengilhak secara perampasan 40 peratus tanah di utara Tanah Jauh.
Sekiranya kita melihat realiti mutakhir; pasti ketara titik kekejaman kini memasuki fasa terburuk bagi tahun baru.

KALAULAH KITA LUPA
Kita mungkin marah dan mula melemparkan celaan bagi kes di Pusat Transit dalam isu ‘tunjuk perasaan’ tamu yang datang bertandang dalam misi rawatan perubatan.
Tapi, hakikat lebih pahit; ini waktu paling genting yang memerlukan doa dan pembelaan.
11 sekeluarga syahid dalam satu kejadian kejam pada Jumaat; dan angka kematian musim sejuk pula makin meningkat.
Lebih 3 ribu kemah musnah kerana banjir; angka krisis kelaparan kritikal kini mencecah 1.6 juta nyawa.
Semalam data baru dibincangkan dan penganalisis menjangkakan jumlah korban sebenar melangkaui 150 ribu nyawa.
Gandaan ini berdasarkan 3 kes bagi setiap 1 nyawa yang dihitung dalam senarai korban rasmi.

MAAFKAN YANG TERSILAP & JANGAN LUPAKAN SAUDARA KITA YANG TERUS DITINDAS.
Mohon perhatian…
Sekiranya komen anda menyebut ejaan nama negara saudara kita atau nama musuh — automatik entri ini akan dikekang had cecahan siaran.
Justeru, komenlah dengan doa.
Maafkan kesilapan bagi kejadian di Pusat Transit dan teruskan memohon perlindungan Allah bagi dahsyatnya kekejaman yang berlaku selama 3 hari berturut-turut pada tahun baru ini.
Bersimpatilah dan kekalkan berdoa.
Siri kekejaman, krisis kelaparan, tragedi banjir, kesejukan ekstrem dan jumlah lebih 100 ribu mangsa cedera tanpa rawatan — kini satu penderitaan yang mulai hilang suara pembelaan.
Akhir sekali — kini musuh memulakan siri pengusiran sistematis baki 400 ribu saudara kita di utara Tanah Jauh.
Ops penghalauan ini akan mengisi kalendar Januari 2025 dengan lebih banyak warna darah dan kekejaman.
Saya mohon, komenlah dengan doa untuk saudara di Tanah Jauh.