Dalam sebuah institusi keluarga, kehadiran cahaya mata semestinya merupakan satu anugerah yang sentiasa dinantikan bagi setiap pasangan suami isteri. Meskipun penantian kehadiran cahaya mata ini kadang kala mengambil masa yang lama, terdapat beberapa pasangan yang mungkin mengalami masalah kesihatan membuat keputusan untuk mengambil anak angkat atau anak susuan.
Malah, isu anak angkat ini sudah tidak asing lagi kepada masyarakat Malaysia khususnya. Ini kerana suasana semasa menyaksikan bahawa banyaknya pengambilan anak angkat berlaku semenjak puluhan tahun dahulu lagi. Namun, sebagai orang Islam, terdapat beberapa hukum-hakam yang perlu kita ambil tahu, agar tidak mendatangkan mudarat di kemudian hari.
Hukum Pengambilan Anak Angkat
Secara umumnya anak angkat adalah anak yang bukan terhasil dari nasab keturunan seseorang itu sendiri. Dari sudut anak tersebut secara nasabnya adalah anak kepada orang lain namun diambil sebagai anak angkat kerana beberapa sebab tertentu seperi contoh pasangan yang sudah lama berkahwin namun tidak direzekikan anak dan sebagainya.
Dari sudut undang-undang setempat, Malaysia secara umumnya membenarkan pengambilan anak angkat. Ini seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Malaysia di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253).
Manakala di sisi Islam, pengambilan anak angkat ini disebut sebagai التبني yang bermaksud seseorang itu mengambil anak orang lain sebagai anak buat dirinya. Begitu juga istilah lain yang hampir sama dengannya yang disebut sebagai ادعاء. Ini seperti yang disebutkan di dalam firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
Dan Allah tidak menjadikan anak-anak angkat kamu itu sebagai anak-anak (kandung) kamu.
Surah Al-Ahzab (4)
Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata :
‘’Dan Allah tidak menjadikan mereka yang kamu dakwa sebagai anak kamu itu adalah anak kandung kamu. Dalam keadaan dia adalah anak selain kamu yang menjadi anak kamu dengan dakwaan kamu’’.
Rujuk Tafsir Al-Thabari, Ibn Jarir (20/206).
Sebahagian ulama tafsir menyebutkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah tatkala Rasulullah S.A.W berkahwin dengan Zainab binti Jahsy R.Anha yang merupakan bekas isteri kepada Zaid bin Haritsah, kemudian ada suara-suara sumbang dari kalangan musyrikin yang mengatakan bahawa Muhammad telah berkahwin dengan isteri kepada anaknya sendiri. Lalu turunlah firman Allah S.W.T yang menjelaskan bahawa anak orang lain yang kita dakwa sebagai anak kita, hakikatnya bukanlah anak kandung kepada kita.
Justeru di sisi syarak, hukum mengambil anak angkat dalam makna menasabkan anak angkat itu kepada bapa angkat dan menjadikan anak angkat mewarisi harta peninggalan bapa angkat adalah haram. Ini kerana, Islam hanya mengiktiraf perkara tersebut menerusi hubungan melalui nasab semata-mata.
Hukum Menasabkan Anak Angkat Kepada Bapa Angkat
Merujuk kepada sirah Rasulullah S.A.W, baginda sendiri diketahui pernah mengambil seorang anak angkat dan menasabkan anak tersebut kepada diri baginda iaitu Zaid bin Haritsah R.A. Bahkan pada awalnya, para sahabat Rasulullah S.A.W memanggil Zaid sebagai Zaid bin Muhammad. Para ulama menjelaskan bahawa ini merupakan suatu tradisi yang dilakukan oleh masyarakat arab jahiliyyah dan Rasulullah S.A.W mengambil Zaid sebagai anak angkat sebelum baginda dimuliakan Allah S.W.T sebagai seorang rasul. Kemudiannya perbuatan menasabkan anak angkat kepada bapa angkat dilarang oleh Allah S.W.T seperti yang disebutkan menerusi firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
Panggillah mereka (anak-anak angkat) kepada bapa-bapa mereka, yang demikian itu lebih tepat di sisi Allah.
Surah Al-Ahzab (5)
Maka bermula dari penurunan ayat ini Zaid bin Haritsah kemudiannya dinasabkan semula dengan nama bapa kandungnya iaitu Haritsah. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Jarir al-Thabari ketika beliau menafsirkan ayat di atas dengan katanya : ‘’Nasabkanlah anak-anak angkat yang kami nasabkan mereka kepada diri kamu itu kepada bapa-bapa kandung mereka. Allah berkata kepada Nabi-Nya S.A.W : Kembalikan lah nasab Zaid kepada bapanya Haritsah dan janganlah kamu memanggilnya dengan Zaid bin Muhammad’’. Rujuk Tafsir Al-Thabari (20/207).
Maka jelas perbuatan bin atau binti anak angkat kepada ayah angkat adalah dilarang. Sebaiknya anak tersebut di ‘bin’ atau ‘binti’ dengan ayah kandung mereka supaya mereka tahu tentang asal-usul dan keturunan mereka.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan tentang menggabungkan nama anak angkat dengan bapa angkat dalam sijil Pengangkutan dan Kad Pengenalan. Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya.
Isu Kemahraman
Namun, seringkali kita terlepas pandang berkenaan dengan batasan pergaulan dan perhubungan sebaik sahaja anak ini mencecah usia baligh. Dari sudut hubungan anak angkat perempuan dengan bapa angkat dan juga anak angkat lelaki dengan ibu angkat. Secara asasnya, anak angkat yang telah sampai usia baligh yang berlainan jantina dengan ibubapa mereka merupakan ajnabi (orang asing) kepada mereka. Ini kerana mereka pada umumnya tidak mempunyai hubungan nasab (keturunan) dengan ibubapa angkat mereka.
Dalam isu ini, kita hendaklah jelas berkenaan pendefinisian mahram terlebih dahulu. Dari sudut bahasa mahram adalah :
- Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.
- Sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.
Manakala dari sudut istilah mahram bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. Rujuk Kaasyifah al-Saja, Nawawi bin ‘Umar (Hlm. 114).
Dalam menghuraikan makna-makna ayat dalam pendefinisian di atas, kami perincikan ia seperti berikut:
Pada perkataan ‘’dalam bentuk al-ta’bid’’ membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).
Manakala perkataan ‘’bukan kerana kemuliaannya’’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi S.A.W. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.
Dan perkataan ‘’bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’ adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).
Mahram hanya berlaku menerusi tiga perkara iaitu nasab, susuan, dan juga musaharah (perkahwinan). Justeru, setiap individu yang tidak ada sebarang hubungan pertalian menerusi ketiga sebab ini adalah bukan mahram bagi seseorang dan membawa kepada banyak implikasi hukum.
Oleh yang demikian, berbalik kepada isu anak angkat ini maka kita nyatakan bahawa sekiranya mereka telah mencapai usia baligh, maka ada beberapa implikasi kemahraman dari sudut perhubungan dengan ibubapa angkat mereka. Pertama, sekiranya anak angkat itu seorang perempuan, maka dia wajib menutut seluruh auratnya kecuali muka dan tapak tangannya di hadapan bapa angkat. Kedua, dia tidak boleh untuk bersentuhan kulit dengan bapa angkat tersebut. Ketiga, mereka juga tidak boleh untuk berdua-duaan di sesuatu tempat tanpa ada mahram bagi lelaki atau mahram bagi dirinya. Keadaan ini sama juga sekiranya anak angkat tersebut merupakan seorang lelaki dengan ibu angkatnya.
Berlainan pula dengan status mahram bagi anak susuan. Meskipun anak yang diambil itu disusukan, masih terdapat juga beberapa batas pergaulan antara anak susuan ini dengan kedua ibu bapa susuannya dan keluarga sebelah bapanya. Hal ini diterangkan dalam IRSYAD HUKUM SIRI KE-777. Penerangan terperinci ini boleh dibaca sebagai rujukan pasangan yang sedang berfikir untuk mengambil anak susuan atau sedang membesarkan anak susuan.
Perwarisan Harta
Apabila membincangkan mengenai isu perwarisan harta, anak angkat tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkat mereka disebabkan tiada pertalian darah yang membolehkan berlakunya perwarisan pusaka. Namun begitu, sebaiknya para waris yang lain mengasihani mereka ini (anak angkat) sepertimana ibu atau bapa angkat mereka mengasihani mereka sewaktu masih hidup. Oleh yang demikian, antara langkah awal atau inisiatif lain yang boleh diambil oleh ibu atau bapa angkat sekiranya ingin memberikan sebahagian harta mereka kepada anak angkat mereka adalah melalui proses hibah dan juga wasiat. Namun, mestilah kedua-dua proses ini dilakukan dengan cara yang adil iaitu tidak pula menyusahkan para waris yang lain atau bersikap berat sebelah dalam urusan pembahagian harta, serta mestilah mengikut petunjuk dan juga kadar yang telah ditentukan syariat Islam.
Ini dijelaskan melalui firman Allah S.W.T:
Maksudnya:
Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
Surah al-Nisa’ (7)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata bahawa terdapat tiga faedah yang boleh diperolehi daripadanya, antaranya ialah menerangkan bahawa salah satu illah atau sebab kepada perwarisan adalah القرابة (al-qorobah) iaitu hubungan kerabat. Keduanya, umum ayat ini pada semua قرابة sama ada dekat ataupun jauh. Dan ketiga, keumuman semua jenis bahagian yang telah ditetapkan Allah S.W.T. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/46].
Maka, berdasarkan kepada definisi harta pusaka, sebab-sebab perwarisan serta maksud anak angkat, dapat kita menyatakan bahawa anak angkat tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkatnya mengikut hukum faraid. Ini kerana anak angkat tidak mempunyai sebarang hubungan pertalian darah secara syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkat sekalipun anak angkat tersebut telah dibinkan kepada bapa angkatnya di dalam sijil kelahiran.
Meskipun begitu, tiada hak untuk mewarisi tidak bermakna dia tidak berhak untuk memperolehi harta pusaka dengan cara yang lain seperti hibah dan juga wasiat. Sebahagian ibu bapa zaman kini membiarkan terus anak angkat mereka tidak mendapat apa-apa disebabkan fahaman bahawa anak angkat tidak layak dan tidak berhak untuk diberikan apa-apa atau sebahagian dari harta pusaka.
Sumber: Irsyad Hukum Siri Ke-777, Irsyad Hukum Siri Ke-430, Al-Kafi 1671