Kontinjen Malaysia sedang giat membuat persiapan untuk Sukan Olimpik Paris 2024. Setakat ini, seramai 18 atlet telah disahkan akan mewakili Malaysia dalam tujuh sukan berbeza. Antara atlet yang menonjol termasuklah Lee Zii Jia (badminton), Dato’ Azizulhasni Awang (berbasikal), dan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (memanah).
Majlis Sukan Negara (MSN) menjangkakan sekitar 30 hingga 35 atlet akan memperkuatkan kontinjen Malaysia, termasuk pasukan hoki yang masih dalam proses kelayakan. MSN juga memberi tumpuan kepada lima sukan utama untuk meraih pingat emas.
Walau bagaimanapun, pakaian rasmi kontinjen Malaysia untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris telah menerima kritikan hebat dari orang ramai. Ramai netizen menyatakan bahawa rekaan pakaian tersebut kelihatan seperti “baju budak sekolah” dan tidak mencerminkan kreativiti atau identiti negara.
Pakaian ini ditaja oleh Yonex Sunrise Malaysia dan dilancarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 23 Jun 2024. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, telah menyatakan bahawa reka bentuk pakaian tersebut adalah di bawah bidang kuasa MOM dan bukan keputusan Kementerian Belia dan Sukan.
Apa pendapat anda tentang rekaan pakaian ini?