Sepertimana yang kita maklum, perbuatan boikot barangan atau perkhidmatan tertentu menjadi salah satu isu global yang dijalankan sebagai kempen oleh rata-rata masyarakat dunia dalam mengekspresikan reaksi mereka terhadap isu-isu yang mereka perjuangkan. Meskipun boikot ini merupakan salah satu jihad ekonomi yang diharuskan dalam islam, sebagai seorang manusia yang dikurniakan akal, yang waras, kita sewajarnya memboikot dengan ilmu dan akhlak, bukan memboikot dengan terburu-buru tanpa berfikir panjang sehingga mendatangkan kemudaratan yang tidak sepatutnya. Selain daripada itu, para asatizah dan alim ulama juga menasihatkan kita agar tidak bertindak dengan cara ekstrem dan melulu seperti memaki hamun, mensabotaj dengan merosakkan infrastruktur atau mengambil gambar pelanggan yang sedang makan dan menularkannya ke media sosial dengan tujuan menjatuhkan imej. Tindakan-tindakan begini adalah di luar batasan akhlak dan undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini.
Sejarah Boikot Dalam Sirah Nabi
Sejarah memperlihatkan perbuatan boikot ini telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Ia dinukilkan berdasarkan riwayat Abu Hurairah bahawa Thumamah bin Uthal yang merupakan pemimpin Bani Hanifah. Terkenal dengan sikapnya yang berpandangan luas, disegani dan sukar ditentang kehendaknya menjadikan beliau individu yang sangat berpengaruh. Tindakannya ke Mekah untuk melakukan umrah mengikut adat jahiliah telah mengubah agamanya kepada agama Islam setelah beliau ditawan oleh tentera Rasulullah SAW. Layanan terbaik yang diberikan oleh baginda dan para sahabat kepada Thumamah sehingga beliau dibebaskan telah menjentik hatinya untuk memeluk Islam. Beliau kemudian meneruskan niatnya untuk menunaikan umrah serta melaungkan talbiah dengan suara yang kuat di mana ketika itu kota Mekah dikuasai oleh penduduk Quraisy.
Tindakan Thumamah tersebut menimbulkan kemarahan kepada penduduk kaum Quraisy sehingga mengancam untuk membunuh orang yang melakukan demikian. Apabila mereka mengetahui individu yang melakukan itu ialah Thumamah, mereka bimbang sekiranya tindakan mereka akan menyebabkan Thumamah menyekat bekalan makanan.
Thumamah kemudian mengambil tindakan menyekat bekalan makanan iaitu gandum sebagai tindakan memboikot kaum Quraisy. Perkara ini memberi kesan kesusahan yang sangat besar kepada mereka kerana menghadapi kelaparan sehingga boleh mengancam nyawa. Mereka mengutus surat kepada Rasulullah SAW memohon supaya memujuk Thuhamah menghentikan tindakan boikot tersebut. Thumamah patuh dengan permintaan Rasulullah SAW supaya menghentikan boikot kepada kaum Quraisy dan bekalan makanan serta keperluan lain telah diberikan kepada kaum Quraisy
Namun, pada era kini, berlakunya salah faham dalam sesetengah orang adalah mereka menyangka bahawa sikap ekstrem dan berlebihan dalam mengamalkan agama adalah sesuatu yang terpuji. Hal ini dalam semua bentuk termasuk perbuatan seperti ibadah, adat, rutin seharian dan sebagainya. Perbuatan didasari oleh perasaan dan emosi yang membuak-buak untuk menunjukkan ketinggian keberagamaan seseorang berbanding yang lain sehingga menyimpang daripada pertimbangan ilmu yang benar dan akal yang rasional.
Hal ini ditunjukkan dalam satu hadis Nabi SAW yang panjang berkaitan tiga orang Sahabat yang menetapkan perkara yang wajib bagi mereka berdasarkan emosi tanpa berpandukan kepada ilmu dan akal yang benar. Salah seorang daripada mereka ingin mendirikan solat malam dan tidak akan tidur selamanya. Seorang sahabat yang lain pula berazam untuk berpuasa setahun penuh dan tiada hari yang dia tidak puasa. Manakala sahabat yang terakhir pula berazam untuk menjauhkan diri daripada wanita dan tidak berkahwin buat selama-lamanya.
Namun Baginda SAW memperbetulkan salah faham mereka yang melampau tersebut dengan bersabda:
Maksudnya: Adakah kalian yang berkata begitu dan begini? Bahkan, demi Allah SWT, sesungguhnya aku (Rasulullah SAW) ialah yang paling takut kepada Allah SWT dan paling bertaqwa kepada Allah SWT, namun aku berpuasa kemudian aku berbuka puasa, aku mendiri solat (malam) kemudian aku tidur. Sesiapa yang tidak suka kepada sunnah-ku, maka bukanlah dia daripada (golongan)-ku.
(Riwayat al-Bukhari)
Bahkan sebaliknya Rasulullah SAW menasihati kita agar tidak bersikap melampau dalam beragama dan menegaskan bahawa ia adalah punca binasanya umat-umat terdahulu.
Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agama, maka sesungguhnya yang telah membinasakan umat sebelum kamu itu sikap berlebih-lebihan dalam agama.
(Riwayat al-Nasa’ie)
Nabi SAW juga bersabda:
Maksudnya: Celakalah orang yang melampaui batas (Baginda menyebutnya sebanyak tiga kali).
(Riwayat Muslim)
Islam merupakan agama yang mementingkan keharmonian sesama insan, malah kita juga dididik agar saling menyayangi antara satu sama lain kerana dengan persaudaraan itulah yang akan menguatkan hubungan ukhuwah umat Islam.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang ingin dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang).”
(Riwayat Bukhari)
Bersikap berkeras dan berlebih-lebihan dalam beragama ini merupakan amalan yang bertentangan dengan roh dan maqasid syarak itu sendiri. Sikap ini bukan lahir daripada ilmu pengetahuan, bahkan ia sebenarnya timbul daripada maklumat sedikit yang didapati secara tidak matang, kemudian diikuti sikap terburu-buru dan semangat yang berkobar-kobar. Sikap ekstrem dan melampau ini bukan suatu perbuatan yang terpuji dan tidak dianjurkan oleh Islam. Perbuatan ini terhasil dari kejahilan terhadap agama dan sikap terburu-buru mengikut emosi.
Berhemah dan Berhikmah dalam Berdakwah
Oleh itu, berhemahlah dalam mengeluarkan tutur kata, mengeluarkan pendapat dan sebarkanlah dakwah Islam dengan penuh hikmah. Ini kerana, dalam kita berusaha untuk mencapai satu matlamat yang baik, perbuatan haram yang dilakukan tidak akan menjadi halal. Bahkan perbuatan yang haram adalah tetap haram walaupun digunakan untuk mencapai matlamat yang baik. Ini berdasarkan prinsip dan kaedah yang menyebutkan bahawa:
Maksudnya: Tujuan (yang baik) tidak menghalalkan cara (haram) yang digunakan seseorang.
Justeru itu, niat seseorang untuk menghalang orang ramai membeli produk dari jenama yang diboikot dengan menggunakan cara memprovokasi dan mengaibkan pelanggan adalah suatu perbuatan yang tidak dibenarkan dalam Islam. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar berdakwah dan mengajak orang kepada kebaikan dengan cara yang berhikmah dan nasihat yang baik.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.
(Surah al-Nahl: 125)
Selain itu, seseorang perlulah mempunyai sifat sabar dan tenang kerana kedua-duanya merupakan satu sifat yang mulia dan menjamin keselamatan. Sebaliknya, sifat yang bertentang iaitu tergesa-gesa dan melulu adalah sifat yang tercela dan membawa kepada kecelakaan.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Ketenangan datangnya daripada Allah, sedangkan sikap tergesa-gesa itu datangnya daripada syaitan.
(Riwayat al-Baihaqi)
Oleh yang demikian, cara yang berhikmah dan berilmu serta tenang dalam berdakwah lebih mendekatkan orang ramai kepada kebaikan dan kebenaran. Bahkan sebaliknya jika ditegur dengan keras dan kasar itu akan menyebabkan pelaku-pelaku maksiat lebih cenderung memilih untuk kekal dengan maksiatnya dan menjauhi para pendakwah.
Kesimpulannya, sebagai seorang Islam, kita sewajarnya perlulah menjauhi sikap ekstrem dan melampau dalam kempen memboikot ini yang akhirnya tidak membawa apa-apa kebaikan, bahkan menimbulkan kemudaratan yang tidak perlu kepada diri sendiri dan orang lain. Apatah lagi perbuatan tersebut melibatkan perbuatan yang diharamkan oleh syarak seperti mengintip kesalahan orang lain dan menyebarkannya kepada khalayak ramai yang mana sama sekali tidak dianjurkan oleh syarak. Jagalah tutur kata kita dalam menyatakan sesuatu pendapat agar tidak memutuskan silaturrahim. Sekiranya ingin menjalankan kempen #blockout, cukup sekadar block akaun media sosial pempengaruh yang terlibat, dan janganlah kita mengeruhkan lagi keadaan dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina yang boleh menjatuhkan maruah individu tersebut. Marilah kita mengambil sikap berhemah dan berhikmah dalam mengajak orang kepada kebaikan dengan didasarkan ilmu pengetahuan dan pertimbangan akal yang waras. Sesungguhnya cara tersebut adalah lebih baik dan lebih mendekatkan orang yang diseru kepada kebaikan dan kebenaran. Ingatlah bahawa kita sebagai umat Islam membawa identiti agama kita yang suci di mata orang luar. Pamerkanlah akhlak yang baik kerana melalui akhlak yang baik itulah salah satu cara kita menyampaikan dakwah kepada khalayak.
Rujukan : Pejabat Mufti Wilayah, Jabatan Mufti Negeri Selangor