Kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya gugur setelah kematian suami. Hal ini kerana, isteri merupakan salah seorang waris yang berhak mendapat bahagian daripada harta peninggalan suaminya. Dengan demikian, harta peninggalan tersebutlah yang digunakan sebagai nafkah terhadap dirinya.
Seorang bapa tidak bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak perempuannya yang kematian suami jika anaknya itu mampu. Namun jika anaknya itu fakir dan tidak mampu bekerja atas beberapa faktor tertentu seperti gila, sakit dan sebagainya, maka bapa wajib memberi nafkah kepadanya, sekiranya bapa sudah tiada, maka tanggungjawab jatuh kepada datuknya untuk memberi nafkah.
Manakala nafkah anak kecil yang kematian bapa dan belum mampu bekerja, maka tanggungjawab tersebut terletak kepada DATUK DARI KETURUNAN BAPANYA. Jika datuk sudah tiada, maka ibu kepada anak kecil tersebut dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut baligh dan mampu bekerja.
Dari sudut kadar nafkah yang perlu diberi, hukum syarak tidak menetapkannya. Penentuan kadar nafkah itu hanya berdasarkan konsep mencukupi berdasarkan pandangan umum dan kemampuan pemberi nafkah.
Namun, jika datuk sebelah bapa anak kecil tersebut tidak mampu serta ibunya juga seorang yang fakir kerana kematian suami dan tidak mampu menanggung anaknya, maka menjadi tanggungjawab Pusat Zakat atau Baitulmal untuk untuk menanggung keperluan si anak itu.
Oleh itu, isteri tersebut berhak mendapat zakat dan boleh memohon bantuan Pusat Zakat atau Baitulmal kerana statusnya sebagai asnaf zakat dalam kategori fakir dan miskin. Di samping itu, saudara-mara yang lain juga digalakkan untuk menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang berada dalam kesusahan bahkan sunat membantunya atas tuntutan sedekah dan demi mengeratkan lagi silaturahim