GOOGLE mengumumkan bakal menamatkan penawaran aplikasi YouTube Kids pada televisyen pintar, konsol permainan dan juga peranti penstriman yang lain menjelang Julai 2024 ini.
Pada tahun lepas, Youtube Kids sudah mula boleh diakses melalui televiseyen pintar dan peranti penstriman yang lain, namun pengguna memerlukan dua aplikasi Youtube dan Youtube Kids yang berasingan untuk mengakses kandungan aplikasi tersebut.
Dengan pembaharuan menjelang Julai ini, para pengguna hanya perlu menggunakan aplikasi utama YouTube pada televisyen. Namun, pengguna masih boleh mengakses profil Youtube Kids melalui satu aplikasi yang sama dengan lebih pantas dan mudah tanpa perlu keluar dari aplikasi yang sedang dibuka.
Perubahan ini adalah hanya untuk penggunaan di kaca televisyen sahaja, dan tidak melibatkan aplikasi YouTube Kids untuk peranti mudah alih.