Penyanyi Aisyah Aziz, 29, memberi gambaran mahu menjalani kehidupan lebih tenang dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT selepas mendapat petunjuk dan kesedaran, awal tahun lalu.
Menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya kelmarin, penyanyi kelahiran Singapura itu berkongsi situasi yang melanda dirinya, tahun lalu, hingga timbul kesedaran untuk berubah menjadi insan lebih baik.
“Saya masih ingat hari yang sama tahun lalu. Saya tanya kepada Allah dari lubuk hati paling dalam, tolong berikan saya penjelasan… Saya mahu penyelesaian. Berikan saya petunjuk dan kekuatan yang cukup untuk saya melepaskan apa yang perlu.
“Allah benar menguji saya pada Januari 2023 hanya untuk menyedarkan saya. Saya belajar solat daripada kawan-kawan yang saya tak pernah jangka boleh memberi inspirasi dengan cara sebegitu… Saya temui ketenangan apabila berseorangan,” luahnya.
Aisyah atau nama sebenar, Nur Aishah Aziz turut berkongsi, hubungan bersama ibu bapa menjadi lebih baik, selain bersyukur dengan peluang diberi untuk menunaikan umrah.
“Saya temui hubungan baharu dengan ummi dan ayah. Saya temui makna dalam kesederhanaan. Saya menangis keseorangan di rumah dengan posisi bayi dalam perut, bertanya sama ada boleh melepaskan diri daripada perkara duniawi. Akhirnya, saya dapat tunaikan umrah.
“Allah maha besar. Jujurnya masih banyak perkara yang berlaku tahun ini (2023) yang mahu saya ceritakan. Tetapi belum tiba masanya atau ia hanya antara saya dengan Allah,” katanya.
Pada masa sama, Aisyah bersyukur dengan apa terjadi, selain berharap perjalanannya sepanjang tahun baharu akan mendapat kasih sayang Allah.
“Bagaimanapun, Alhamdulillah untuk semuanya. Semoga dilimpahi kasih sayang pada 2024 ini,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu, penampilan Aisyah dilihat mula berubah apabila memuat naik foto dirinya berhijab di IG termasuk menerusi klip video ketika membuat persembahan.
Malah, menerusi video dimuat naik penyanyi Daniesh Suffian di TikTok, Aisyah tampil memakai baju labuh dan hijab rona kelabu, lantas mengundang perhatian ramai.
Rata-rata peminat memuji penampilan terbaharu Aisyah dan mendoakan agar dia dapat terus mengekalkan imej itu.