Syarikat teknologi terkemuka global, Xiaomi dijangka bakal mendedahkan kereta elektrik (EV) pertama keluarannya, pada 28 Disember 2023.
Acara berkenaan dijangka bermula pada pukul 2 petang (waktu tempatan) dan berlangsung selama tiga jam.
Berita tersebut telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Xiaomi sendiri, Lei Jun.
Beliau membuat pengumuman berkenaan menerusi akaun laman X milik beliau, (@leijun).
Beberapa info awal berkenaan dengan kereta elektrik pertamanya itu dikenali dengan nama Xiaomi SU7.
SU pada namanya merupakan singkatan kepada Speed Ultra. Xiaomi menyatakan SU7 akan menjadi antara kereta dengan prestasi pemanduan yang terbaik di pasaran dalam kategori sedan.
Xiaomi SU7 juga dikatakan membawakan prestasi pemanduan yang terbaik dalam kelasnya, setanding dengan kereta EV yang kini berada di pasaran iaitu Porsche Taycan Turbo. Sejumlah ciri-ciri pintar turut diintegrasikan, termasuk seumpama dalam kereta Tesla Model S.
Lei Jun turut menyatakan Xiaomi SU7 akan dipasarkan dalam beberapa bulan lagi. Namun, ia akan dipasarkan di China terlebih dahulu. Harga jualan untuknya masih belum dimuktamadkan lagi, tetapi ia dijangka akan mengejutkan ramai pihak.