Perancangan keluarga lazimnya lebih menjurus kepada peranan dimainkan wanita daripada pelbagai aspek seperti pemahaman kitaran haid, pemandulan wanita menggunakan kontraseptif (alat, pil atau kaedah pencegah kehamilan), pemasangan implan serta kesannya terhadap kesihatan dan kebajikan keluarga.
Disebabkan majoriti wanita akan melakukan kawalan kehamilan, hal ini dilihat berat sebelah kerana sedikit mengabaikan peranan dan sumbangan lelaki (suami) dalam konteks perancangan keluarga.
Lelaki sebagai ketua keluarga juga sebenarnya berperanan penting dan boleh ‘berkorban’ dengan memberikan sumbangan dalam perancangan keluarga, antara kaedah mudah, selamat dan efektif ialah vasektomi, iaitu kaedah pemandulan lelaki yang kurang popular di Malaysia.
Pakar Bedah Klinikal Urologi, Jabatan Urologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aizat Sabri Ilias, berkata vasektomi merujuk pembedahan kecil dilalui lelaki pada peringkat umur 33 hingga 44 tahun untuk mencegah kehamilan.
Ia membabitkan proses memotong saluran sperma dalam alat kelamin lelaki untuk menghalang persenyawaan sperma ketika ejakulasi.
Rata-rata memilih vasektomi kerana vasektomi membabitkan prosedur ringkas, di samping membantu mengurangkan beban isteri untuk mengambil kaedah kontrasepsi yang berisiko kepada kesihatan pada masa hadapan, dan kehamilan dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan.
Dr Aizat Sabri berkata, vasektomi tidak akan memberikan kesan terhadap kehidupan seksual pasangan mahupun mengakibatkan lelaki yang menjalani mati pucuk, tetapi vasektomi bersifat hampir kekal.
Lelaki yang melakukannya berkemungkinan besar tidak akan dapat memiliki keturunan lagi.
amun begitu, sekiranya pasangan memutuskan untuk memiliki anak lagi selepas menjalani vasektomi, lelaki boleh menjalani pembedahan mikrosurgeri yang dikenali sebagai “vasectomy reversal”, iaitu pembedahan pembalikan vasektomi yang membabitkan proses menyambung kembali saluran sperma yang dipotong kembali kepada keadaan asal.
Dr Aizat Sabri, peratus kejayaan pembedahan mikrosurgeri itu boleh mencapai kadar 50 peratus hingga 70 peratus.
Bagaimanapun, peratus kejayaan akan menurun jika berdurasi panjang antara vasektomi dan keputusan pembedahan mikrosurgeri.
Risiko melakukan vasektomi
Bagi lelaki yang ingin melakukan vasektomi, risikonya perlu diketahui. Antaranya ialah sifat vasektomi yang hampir kekal, jangkitan kuman di kawasan pembedahan dan epidermis, sindrom kesakitan selepas vasektomi (post-vasectomy pain syndrome) dan kegagalan vasektomi (vasectomy failure).
Ketua Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam, UPM, Alzasha Illiyyin Zainal Alam, berkata vasektomi menurut pandangan Islam boleh dikatakan salah satu kaedah moden yang tidak wujud pada masa lalu.
Justeru, kaedah ini secara spesifik tidak pernah dibincangkan hukumnya oleh ulama silam.
Katanya, meskipun ulama silam tidak pernah membahaskan isu vasektomi secara spesifik, namun ulama membincangkan prinsip umum tentang ‘tahdid al-nasl’ (membataskan anak keturunan), ‘tanzim al-nasl’ (perancangan anak keturunan), hukum pemandulan dan seumpama yang boleh dirumuskan seperti berikut:
‘Tahdid al-nasl’ (Membataskan anak keturunan) Sebahagian besar ulama tidak membenarkan ‘tahdid al-nasl’ (membataskan anak keturunan) berdasarkan dalil umum.
Termasuk dalam perkara ini ialah kaedah yang digunakan untuk menjarakkan anak seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara dan seumpamanya.
Pemandulan
Secara prinsipnya, Islam mengharamkan pemandulan. Hal ini dapat difahami daripada beberapa keterangan nas, antaranya larangan Nabi SAW kepada sahabat untuk hidup membujang.
Perbuatan memandulkan diri dengan sengaja boleh dianggap mengubah fitrah ciptaan Allah dan memudaratkan diri sendiri.
Beberapa pandangan fatwa ulama di peringkat antarabangsa dan kebangsaan
Berdasarkan prinsip umum, ulama dalam Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di Kuwait pada 1988 membuat beberapa ketetapan.
Pertama: Haram menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki atau wanita, iaitu pemandulan.
Pengecualian diberikan dalam kes darurat yang perlu ditimbang dengan ukuran yang syarak.
Kedua: Dibolehkan mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan diambil kira oleh syarak berdasarkan persetujuan dan keredaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan untuk tidak mendatangkan mudarat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada.
Mengikut kenyataan Syeikh Atiyyah melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pada tahun 1997 ketika mengeluarkan fatwa atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan keluarga. Dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau selain bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu. Justeru, tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya kemudaratan yang serius.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-28 yang bersidang pada 29 Februari 1991 membincangkan Sistem Susuk Norplant dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan Muzakarah memutuskan Sistem Susuk Norplant ini ialah harus digunakan.
Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:
1. Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
2. Mencegah beranak atau mengehadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
3. Menyusun keluarga daripada aspek kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada di atas adalah harus.
Oleh itu, vasektomi dibolehkan sekiranya terdapat faktor kesihatan termasuk dalam pertimbangan syarak seperti disahkan oleh pakar boleh berlakunya penularan penyakit, kehamilan menggugat nyawa pasangan serta kes terkecuali lainnya yang bersifat darurat yang mempunyai pertimbangan ‘dhawabit’ (garis panduan) tersendiri. -BH