Syarikat penerbangan tambang Murah MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini, 12 Oktober 2023.
Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata, penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menurutnya, tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sedang menyiasat syarikat penerbangan tambah rendah tersebut berikutan terdapat ulasan dalaman dan aduan yang diterima antaranya mengenai pembayaran berkanun syarikat penerbangan itu yang belum dibayar kepada pekerjanya.
Mavcom juga turut mengarahkan MYAirline untuk segera menguruskan pengguna yang terjejas termasuk memaklumkan tentang penggantungan, selain menerbitkan pemberitahuan menerusi saluran komunikasi syarikat tersebut.
“Mavcom berpendirian teguh bahawa MYAirline masih bertanggungjawab untuk membayar balik pengguna yang telah membeli tiket dengan syarikat penerbangan itu tetapi tidak dapat melakukan perjalanan,” memetik kenyataan tersebut.
Malah, suruhanjaya itu turut mengarahkan MYAirline untuk menghentikan serta-merta penjualan dan tempahan penerbangan dari semua platform tempahan sehingga diberitahu kelak.
Buat para penumpang yang terjejas, MYAirline menyarankan agar tidak pergi ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka.
Para penumpang boleh menghubungi mereka di customercare@myairline.my bagi sebarang makluman dan bantuan.