Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan elemen teknologi automatif hibrid dan kenderaan elektrik (EV) serta teknologi robotik akan diterapkan dalam kurikulum di 53 Kolej Vokasional (KV) yang menawarkan program Teknologi Automatik.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, melalui penerapan itu, ia berupaya untuk meningkatkan pengetahuan murid terhadap teknologi terkini.
“Terdapat dua KV yang sedang beroperasi di Parlimen Wangsa Maju iaitu KV Setapak dan KV ERT Setapak.
“KV Setapak menawarkan kursus berkaitan teknologi automotif yang menerapkan elemen EV,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan Zahid Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai rancangan kementerian untuk menambah bilangan KV yang akan menawarkan kursus kemahiran dalam industri EV.
Tambahnya lagi, KPM juga mengambil inisiatif dengan memperkenalkan bidang pengajian berkaitan EV iaitu Teknologi Automotif Hibrid dan Kenderaan Elektrik (EV) di KV Pengerang di Johor yang akan mula beroperasi pada 2026.
Dalam pada itu, beliau menyatakan KPM komited bagi memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KPM relevan dengan pekerjaan masa hadapan.
“(Ia) dengan memastikan kandungan kurikulum bagi program diploma yang ditawarkan di KV diberi nilai tambah teknologi terkini, selaras perkembangan industri 4.0 melalui perubahan kurikulum baharu.
“Sebagai contoh, pertanian pintar dan internet kebendaan (IoT) dalam bidang pertanian yang diintegrasikan melalui latihan amali bagi program pertanian di lima KV Pertanian KPM yang menawarkan program pertanian seperti KV Teluk Intan, Perak, KV Chenor, Pahang, KV Pasir Puteh, Kelantan, KV Dato’ Lela Maharaja, Negeri Sembilan dan KV Lahad Datu, Sabah.
“Selain itu, elemen IoT dan kecerdasan buatan (AI) juga diterapkan dalam kurikulum di 23 KV yang menawarkan program Teknologi Sistem Komputer dan Rangkaian melalui pelaksanaan Sistem Rumah Pintar,” tambahnya.