Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai ditembak di hadapan kedai alat ganti kenderaan di Kampung Hutan Kuin, Machang.
Dikatakan, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 5.30 petang Ahad ketika lelaki berusia 37 tahun yang memandu pacuan empat roda itu berhenti untuk membeli alat ganti kenderaan.
Bapa saudara mqngsa, Zuki Ibrahim, 38, berkata, dia dimaklum kejadian itu oleh isteri mangsa pada jam 6 petang hari yang sama.
“Saya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ketika menerima panggilan telefon itu dan terus ke Unit Forensik Hospital Machang.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian dimaklumkan yang mayat anak saudara masih di lokasi,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Tambahnya lagi, kali terakhir dia berjumpa dengan anak saudaranya itu sebulan lalu, dan kelihatan biasa sahaja.
“Sepanjang saya mengenalinya, dia seorang yang perahsia dan tidak suka menceritakan masalah yang dihadapi kepada orang lain,” kongsinya.
Menurut Zuki, dia dimaklumkan anak saudaranya itu yang tinggal di Pasir Puteh datang ke Machang untuk membeli alat ganti kenderaan buat bengkelnya.
“Bagaimanapun, saya tidak menyangka ia berakhir dengan tragedi dan dia meninggal dunia dengan tragis,” jelasnya.