Majlis Sukan Negara (MSN) memperkenalkan penaja utama bagi perlumbaan berbasikal jalan raya pelbagai peringkat, Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun ini adalah Kerajaan Negeri Terengganu.
Pengumuman itu dibuat melalui satu majlis yang berlangsung di Casa 4, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
Majlis yang dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail.
Menerusi penajaan terbabit, logo “Beautiful Terengganu” selaku penjenamaan pelancongan bagi negeri di pantai timur semenanjung terbabit akan menghiasi jersi putih iaitu pemenang bagi kategori Raja Asia.
Dalam masa yang sama, wakil Kerajaan Negeri Terengganu akan diberi penghormatan untuk menyarungkan jersi putih pendahulu kategori ini pada setiap peringkat.
Namun, berdasarkan siaran akhbar yang diedarkan, jumlah penajaan oleh kerajaan negeri Terengganu itu tidak dinyatakan dan didedahkan kepada umum.
Sepertimana yang diumumkan sebelum ini, LTdL edisi ke-27 ini terbahagi kepada lapan peringkat dimana dua lokasi di negeri Terengganu iaitu Kerteh dan Kuala Terengganu menjadi permulaan kepada perlumbaan peringkat pertama dan kedua masing-masing.
Edisi LTdL 2023 pada kali akan disiarkan secara langsung menerusi penyiar rasmi sukan itu iaitu, Eurosports saluran televisyen tempatan serta termasuk platform media sosial seperti Youtube dan TikTok.
Melaluinya juga, kerajaan negeri Terengganu selaku penaja akan mendapat pulangan dari segi promosi pelancongan yang akan menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara untuk memilih negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.