Sekeping gambar boleh menceritakan seribu perkataan, dan ia kekal selamanya! Namun, ‘idea kreatif’ seorang ketua perancang perkahwinan untuk memberikan kenangan romantis buat sepasang bakal pengantin, akhirnya bertukar menjadi bencana besar selepas mercun suar yang digunakan menjadi punca kebakaran besar di Gunung Bromo, Jawa Timur Indonesia.
Lelaki yang berusia awal 40-an itu kini ditahan dan bakal didakwa gara-gara menyebabkan kawasan hamparan rumput di kawasan savana yang dikenali sebagai Bukit Teletubbies di lokasi taman negara Gunung Bromo terbakar.
Suspek berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga 1.5 bilion Rupiah (RM456,000) jika sabit kesalahan.
Semuanya berpunca daripada ideanya untuk menjalankan penggambaran foto pra-perkahwinan pasangan berkenaan menggunakan mercun suar.
Pada ketika ini, kawasan berkenaan berada dalam musim panas dan kering yang menyaksikan hamparan rumput dan lalang di situ mudah terbakar. Kawasan itu sebelumnya begitu popular dan menjadi idaman pengunjung serta para pendaki kerana menawarkan pemandangan yang unik.
Lebih dikesali, pihak Taman Negara Gunung Bromo memaklumkan, ketika kebakaran awal terjadi, kumpulan penggambaran itu tidak langsung berusaha untuk memadamkan api, malah dibiarkan sahaja.
Memetik laporan Kompas.com, Ketua Polis Probolinggo Wisnu Wardana mengesahkan: “Suspek yang ditahan merupakan pengurus perancang perkahwinan.
“Dia sebagai orang yang dipertanggung jawab dalam hal ini, malah tidak mempunyai permit khas untuk memasuki kawasan konservasi Gunung Bromo.”
Tambah Wisnu, untuk memasuki zon itu, seseorang perlu mendaftarkan diri dan perlu membayar harga permit berdasarkan jenis aktiviti yang hendak dijalankan. Seseorang itu juga perlu mengisytihar semua peralatan dan perkakasan yang hendak dibawa masuk bersama.
“Akibat penggunaan suar itu, sekarang seluas 50 hektar hamparan rumput terbakar,” jelasnya lagi.
Sehingga hari ini, kerja pemadaman api masih dijalankan, dan rata-rata netizen Indonesia amat marah dengan kejadian itu.
“Tahan sekali pasangan bakal pengantin yang bersetuju dengan konsep penggambaran itu. Jangan mereka terlepas,” ujar seorang pengguna media sosial.
Dalam masa yang sama, komuniti jurugambar profesional tempatan juga sempat mengulas mengenai hasil fotografi itu.
“Gaya idea berlebihan sampai Gunung Bromo terbakar. Hasil gambarnya tetap buruk dan tiada seni,” kata salah seorang daripada mereka.