Sekitar 25 tahun lalu, rancangan televisyen, Crocodile Hunter merupakan antara rancangan tv popular di seluruh dunia.
Rancangan ini dikendalikan oleh pengacara, Steve Irwin. Steve Irwin dilahirkan pada 22 Februari 1962 di Victoria, Australia. Pada tahun 1970, ibu bapanya berpindah ke Beerwah, Queensland dan membuka Taman Reptilia Beerwah yang kemudian berkembang menjadi Zoo Australia.
Selepas berkahwin pada tahun 1992, Irwin dan isterinya Terri merakam dokumentari sambil menjalankan penempatan semula buaya bermasalah di sekitar Queensland. Ia menjadi siri dokumentari TV “The Crocodile Hunter” yang melonjakkan namanya di seluruh dunia.
Selain daripada siri tersebut yang bersiaran dari tahun 1997 hingga 2004, Irwin mengendalikan dan menerbitkan pelbagai lagi dokumentari hidupan liar. Pada tahun 2006, dia dan isteri merangka pelan 10 tahun untuk Zoo Australia yang diuruskan oleh mereka sejak tahun 1991. Namun, usianya tak panjang.
Pada bulan September tahun itu, dia dan krewnya berkampung di Batt Reef untuk merakam dokumentari bertajuk “Ocean’s Deadliest”. Selepas 8 hari penggambaran, mereka mencari jerung harimau, tetapi cuaca buruk menghalang mereka. Tetapi Irwin tidak boleh duduk diam.
Dia dan jurukamera menaiki bot dan meronda mencari sesuatu untuk dirakam. Tidak lama kemudian, Irwin ternampak seekor pari selebar 8 kaki di air yang berkedalaman paras dada. Mereka pantas merangka pelan, turun ke air, dan memulakan penggambaran.
Segalanya berjalan dengan baik sehinggalah pada ‘shot’ terakhir, pari tersebut tiba-tiba menusuk ekornya ke dada Irwin berkali-kali dalam tempoh beberapa saat. Apabila Irwin dilihat bergelumang dengan darah, dia pantas dibawa naik ke bot.
Krewnya cuba memastikan dia terus bernafas dengan CPR. Pasukan perubatan tiba sejam kemudian, namun Irwin disahkan meninggal dunia di usia 44 tahun. Tusukan ekor berduri itu tepat ke jantung Irwin, meninggalkan luka tikaman selebar dua inci.
Ikan pari kebiasannya tenang namun pari berkenaan bertindak agresif kerana menyangka Steve ialah jerung harimau yang merupakan pemangsa pari.
Usaha Irwin cukup besar dalam mendidik dunia tentang kepentingan memelihara hidupan liar. Usahanya diteruskan oleh Terri dan dua orang anak mereka, Bindi dan Robert.