Pempengaruh media sosial serta pengusaha ‘Sambal Nyet’, Khairul Aming menepati ramalan apabila mengungguli kategori Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2023 yang disiarkan secara langsung TV3 dan akaun TikTok Malaysia.
Aming atau nama sebenar, Khairul Amin Kamarulzaman, 31, menewaskan lima pencabar lain iaitu Boss James yang mengendalikan akaun TikTok @bossjames_eo; Lawyer Gandhi (@lawyerghandi); Auntie Purple (@auntiepurple248); Ceddy (@ceddyornot) dan Sally (@sallywhoo).
Khairul juga yang popular dengan kandungan masakan sepanjang Ramadan menyifatkan kejayaannya itu hasil sokongan keluarga, rakan pencipta kandungan dan pasukan perniagaannya.
“Terima kasih kepada emak, arwah ayah dan pasukan Sambal Nyet. Kalau ayah dapat tengok saya terima anugerah ini, mesti beliau bangga sebab sudah lapan tahun saya bekerja keras,” katanya ketika menerima trofi.
Khairul yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan juga menasihati pencipta kandungan muda agar tidak mengabaikan pelajaran.
“Kepada anak muda yang menceburi bidang ini, kalau masih bersekolah, habiskan belajar dahulu supaya apabila tamat, boleh jadi pencipta kandungan berkualiti.
“Pencipta kandungan ini bukan sekadar tular sahaja, tapi perlu ada adab dan kebolehan menyelesaikan masalah,” katanya.
TikTok Awards adalah acara anugerah terbesar anjuran platform media sosial, TikTok untuk memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan luar biasa merangkumi pelbagai latar belakang dan bidang kepakaran.
Calon pelbagai kategori mempamerkan kreativiti melalui penghasilan kandungan yang menyeronokkan dan memberi impak positif kepada segenap lapisan masyarakat.
Antara kategori lain yang turut dipertandingkan adalah kategori Best Of Foodie yang dimenangi Syifa Jamil; Best Of Sport (Khalish); Best Of Gaming (Sultan Riq); Best Of Education (Sir Asai); Best Of Beauty & Fashion (Shahira Azlan); Best Of Entertainment (Eiqa Maleq); TikTok Shop Of The Year (Anas Zahrin); Popular Animation Account Of The Year (Upin & Ipin); Live Creator Of The Year (Tiger Labu); Popular Creator Of The Year (Ryan Bakery); Rising Star Of The Year (Ikhmal) dan Celebrity Of The Year (Aeril Zafrel).
TikTok Awards Malaysia 2023 turut dimeriahkan dengan selebriti dan personaliti nama besar seperti Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Bell Ngasri, Datuk Yusof Haslam, Amber Chia dan Farah Ann Abdul Hadi sebagai penyampai trofi.
Penonton juga disajikan dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Zeppo, Dolla, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph dan ramai lagi.
Malam kemuncak TikTok Awards MY 2023 dihoskan Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson.
Bersiaran secara langsung dari Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur, TikTok Awards Malaysia 2023 akhirnya telah melabuhkan tirainya.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official