Seorang wanita warga emas ditemukan rentung apabila sebuah pusat jagaan orang tua di Seksyen 5, Petaling Jaya, terbakar, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.33 pagi.
“Seramai 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya bergegas ke lokasi kejadian,” ujarnya dalam kenyataan.
Wan Md Razali berkata, kebakaran melibatkan jenis bangunan struktur kelas A dan musnah terbakar 30 peratus daripada keluasan keseluruhan bangunan.
“Semasa kejadian terdapat 14 penghuni termasuk penjaga telah bertindak menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.
“Namun, terdapat seorang mangsa wanita berusia 69 tahun ditemukan rentung di atas katil dalam sebuah bilik di kediaman itu,” tambahnya lagi.
Kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum jentera Bomba dan Penyelamat sampai di lokasi.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official