Kelab England Manchester City melangkah ke peringkat akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan penuh bergaya apabila menewaskan Real Madrid 4-0 sekaligus menjadikan keputusan agregat 5-1.
Pada perlawanan lagi tadi, Manchester City berjaya mengawal permainan dengan sangat baik. Gol pertama Manchester City hadir pada minit ke 23. Gol dijaringkan oleh pemain tengah kelahiran Portugal, Bernando Silva dengan rembatan deras kaki kirinya dalam situasi dia tidak dijaga.
Gol kedua juga dijaringkan oleh Bernando Silva pada minit ke 37 menerusi tandukan kepalanya dalam keadaan huru hara.
Pada minit ke 76, situasi bertambah parah apabila Eder Militao menjaringkan gol sendiri. Militao cuba mengeluarkan bola hantaran De Bruyne, tetapi bola terbias oleh Militao sekaligus menjadikan keputusan 3-0.
Pemain gantian, Julian Alvarez melengkapkan kemenangan bergaya untuk Manchester City dengan jaringan pada minit ke 91 selepas menerima lorongan baik cantik dari Phil Foden beberapa minit sahaja selepas dia dimasukkan.
Manchester City akan bertemu Inter Milan di peringkat akhir. Mengikut rekod, Manchester City pernah ke peringkat akhir pada musim 2020/2021, tetapi kalah kepada Chelsea.