Setiu, 3 Jun 2020 – Seorang wanita yang berstatus isteri didakwa lari meninggalkan suami dan anaknya yang berusia tiga tahun gara-gara permainan atas talian iaitu PUBG. Permainan ini tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat terutama remaja.
Wanita dari Penarik, Setiu itu dikatakan menghilangkan diri sejak 31 Mei lalu dan sehingga kini gagal dikesan.
Menurut suaminya yang hanya ingin dikenali sebagai Apis, 24, dari Kampung Pantai Merang, Permaisuri, Setiu, isterinya yang berusia 22 tahun itu gagal dikesan dan dikatakan telah keluar dengan menggunakan sebuah motosikal.
Menurut Apis, ini adalah kali kedua isterinya menghilangkan diri seperti ini.
“Yang pertama pada hujung tahun lepas. Memang kami ada bertengkar sebelum hari dia menghilangkan diri. Ini kerana dia asyik dengan permainan atas talian PUBG dan berkenalan dengan seorang lelaki yang mungkin mempengaruhinya sehingga bertindak sedemikian. Katanya.
Dia yang hanya membuat kerja kampung kesal dengan kejadian itu memandangkan anak mereka masih kecil serta masih memerlukan kasih saying seorang ibu.
Dia dan keluarga turut membuat laporan polis di Balai Polis Penarik Setiu tentang kehilangan isterinya dan berharap supaya mana-mana pihak membantu mengesan isterinya dengan segera.
“Saya dan keluarga turut risau dengan keselamatannya kerana telah beberapa hari tidak pulang dan tidak tahu di mana keberadaannya. Harap pihak polis dan orang ramai dapat membantu mencari dia dengan segera.
Sumber: AADK Besut, Astro Awani