Tidak berapa lama dulu pernah kecoh dengan isu doula, dan golongan yang menasihati wanita supaya bersalin di rumah, tanpa mengira risiko dihadapi. Kalau diikutkan doula merupakan seseorang yang menjadi peneman ibu hamil semasa proses kelahiran. Khidmat doula sebenarnya adalah hanya untuk memberi sokongan emosi dan fizikal semasa proses bersalin. Doula bukannya bidan.
Namun, kisah ini bukan kisah doula yang menyambut kelahiran.
Ini kisah seorang suami menjadi bidan ‘bidan terjun’ menyambut kelahiran bayi di rumah.
Fauzi menceritakan pengalaman “unplanned home birth” di posting akaun Facebooknya. Jam 8 malam hari kejadian sewaktu dia baru tiba di Muar untuk ziarah ayahnya yang tidak sihat, dia mendapat panggilan dari isterinya Fiza di Kajang menyatakan perutnnya sakit dan sesekali mengeras. Dalam keadaan masih penat dan mengantuk dia gigihkan juga untuk balik ke Kajang. Tiba di Kajang jam 10 malam, Fauzi mengajak isterinya untuk ke hospital tetapi Fiza menolak dengan alasan boleh bertahan dan tidak mahu menunggu lama di hospital. Semuanya berdasarkan pengalaman tiga kali melahirkan anak sebelum ini.
Makanya, Fauzi yang kepenatan terus masuk tidur. Jam 1 pagi, Fiza mengejutkan suaminya, apabila Fauzi mengajak ke hospital dia masih tidak mahu dan dia pun sambung tidur.
Seterusnya jam 2.20 pagi, sekali lagi Fiza memanggil Fauzi menyatakan yang dia sudah mula merasa sakit. Sedang mereka ingin bersiap untuk ke hospital, semasa Fiza berdiri dia berkata pada Fauzi yang dia sudah tidak mampu menahan.
Fauzi jadi panik.
Fiza sudah tidak mampu bertahan lagi, air ketuban tiba-tiba pecah. Fauzi cuba untuk bertenang namun buntu. Saat itu dia hanya mampu berserah kepada Allah sahaja. Dalam sekelip mata kepala bayi dah mula keluar. Fauzi makin tidak tentu arah, namun ditenangkan isterinya itu dengan menyuruhnya untuk menyambut bayi mereka.
Fauzi pun memegang kepala bayi, daripada sedikit terus satu kepala keluar dan dia menarik keluar kepala bayi perlahan-lahan agar dapat lepaskan bahu. Fiza meneran lagi terus keluar bayi mereka. Alhamdulilah, Fauzi dan Fiza menyatakan kesyukuran mereka. Fauzi terus menyambut bayi mereka. Tidak sampai 5 minit keluar terus bayi mereka itu, anak kecik yang baru lahir itu terus menangis.
Fauzi mengelap badan anaknya itu dengan tuala dan diazankannya. Dibalutkan si kecil itu dengan kain batik. Darah keluar dengan banyaknya, tetapi Fauzi kata isterinya itu sangat kuat dan tidak kelihatan lemah langsung. Kemudian, dia menghubungi 999 terus disambungkan ke hospital. Mereka memberi-tunjuk ajar menerusi panggilan dengan menyuruh lap mulut dan hidung bayi dengan tuala bersih dan memesan supaya tidak membiarkab bayi kesejukan.
Fauzi disuruh mencari tali atau tali kasut untuk mengikat tali pusat 6 inci dari pusat bayi dan tidak sampai putus tali pusatnya. Waktu itu, Fauzi dah boleh menghela lafaz lega dan bertenang. Tidak lama kemudian ambulans pun tiba. Jururawat pun potong tali pusat dan keluarkan uri dan seterusnya bawa Fiza dan bayi mereka ke hospital. Syukur Alhamdulillah, semuanya sihat dan selamat.
Itulah pengalaman yang tidak mungkin dapat semua orang rasa. Dalam postingnya itu, Fauzi berkata dirinya sangat bertuah dan sempat bergurau :
“Jadi kalau ada nak kahwin dengan saya, jangan risau kalau nak beranak kat rumah…hahahaha..gurau aje!”