Pakar kesihatan global percaya ancaman pandemik besar seterusnya semakin hampir dan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding Covid-19.
Ia digelar sebagai penyakit X oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.
Oleh itu, WHO menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat setelah dunia berada pada situasi ‘tidak bersedia’ ketika menghadapi Covid-19 pada awal 2020.
Kate Bingham yang pernah mempengerusikan Pasukan Petugas Vaksin Britain menggesa komuniti antarabangsa supaya tidak leka kerana sesuatu wabak berupaya menjadi pembunuh senyap.
“Para saintis mengenal pasti 25 keluarga virus yang berpotensi untuk berkembang menjadi pandemik,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dianggarkan terdapat kira-kira sejuta lagi virus yang masih terdapat di luar sana dan boleh melompat dari satu spesies ke satu spesies lain dan berupaya membunuh jutaan manusia
“Bayangkan jika penyakit X berjangkit dengan kadar kematian seperti Ebola (67 peratus). Di bahagian lain di dunia, ia kemudiannya mereplika dan lambat-laun ada individu akan jatuh sakit,” jelasnya lagi. – Agensi