TRIBUT RAMADAN RAYA DI KT

Team KepochiCoretan ZRA10 months ago2K Views

Depan kedai Ayah Wa di Jalan Banggol; era kedai papan yang konsepnya masih berpintu sisipan papan.

Tahun 1987 — saya jejak kaki ke Kuala Terengganu (KT). Niat menuju ke Sanggar Teater, Bukit Besar.

(Sanggar ertinya “rumah tempat anak-anak teater tinggal dan menjalankan aktiviti seni”).

Sampai di Sanggar Teater, saya kenal Rukman Majid, Abu Bakar Musa, Saberi Muda dan Maarof Seman RS dan ramai lagi anak-anak Ganu.

Mereka aktivis teater dan puisi Pantai Timur 1980an dan 1990an.

SAYA JUMPA MARZUKI ALI

Marzuki Ali (lahir 1945) satu nama besar dalam dunia teater; juga penyair yang mengabdikan diri lebih separuh abad sebagai aktivis budaya.

Marzuki Ali juga sohor kerana mempertahankan alam sekitar Terengganu dalam “puisi-puisi tempur politiknya”.

Waktu saya sampai di Sanggar Teater — Marzuki Ali sudah keluar bekerja. Ketika itu — dia bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan Terengganu.

Petang — agak lewat menuju Maghrib –Marzuki Ali pulang. Saya jumpa dan minta izin tinggal di sanggar.

“Saya nak belajar teater….”

Marzuki Ali senyum dan anggukkan kepala.

“ANAK SIAPA? SIAN… MUKA MOLEK TAPI….”

Suasana Sanggar Teater sangat kedesaan walaupun di pinggir KT. Di Kampung Bukit Besar — kami berjiran dengan banyak rumah.

Sebuah kawasan perkampungan tahun 80an yang masih ditandai pokok besar di depan rumah, alor air di belakangnya dan bersebelahan dengan Tanah Perkuburan.

Saya perlu gigih pada bulan pertama latihan. Asas utama teater ialah mencapai tahap matang bagi kualiti vokal.

Yakni, proses menjerit dengan teknik yang betul bagi meningkatkan kualiti projeksi dan artikulasi.

Seminggu selepas berlatih waktu malam secara berkumpulan di Gelanggang Budaya, Pasir Panjang — saya mula buat latihan sendiri.

Awal pagi hari, saya bangun; pergi ke belakang kampung dan berdiri mengadap Bukit Besar.

Saya mula menjerit ke arah bukit. “Aaa!!! Aaa!!! Aaa!!!”

Saya tak pernah terfikir — menjerit pada awal pagi hari, menyebabkan orang kampung merasa aneh.

Seorang pemuda kampung bernama Owl, selalu datang ke Sanggar; dia juga minat teater. Setelah tahu — saya budak baru — Owl tersenyum.

“Ooo patutlah…,” kata Owl: “Mak ambe kata… ada budak kurus, nampak ke rupa molek. Tapi sian… otak dok sihat. Dok jerit ke bukit pepagi buta….”

Kawan-kawan Sanggar ketawa; saya pun ketawa.

MARZUKI ALI SELALU INGATKAN SOLAT

Anak-anak muda di Sanggar Teater semuanya berusia sekitar awal 20an.

Tahun 1988 — Marzuki berusia sekitar 43 tahun. Kami panggil “Abe Ki” atau “Tokki”.

Dia pendiam; tetapi tegas dalam latihan. Kami berlatih setiap hari kecuali Khamis malam Jumaat.

Satu perkara yang saya perasan; Marzuki Ali sentiasa menegur setiap orang dalam rumah: “Dah solat belum?”

Kami bergegas bangun; segera bergilir ambil wuduk.

Bersama Pak Marzuki. Foto mungkin tahun 1990/91.

HIDUP SUKAR TAPI INDAH

Kalau musim persembahan, kami akan berkeliling mementaskan teater. Saya merasakan pengalaman pertama naik kapal terbang ketika jadi anak teater.

Terbang dari KT ke KL seterusnya ke Kota Kinabalu dan Kuching. Travel pertama pentaskan drama “Dimana Bulan Selalu Retak” karya Pak A. Samad Said.

Saya tak pandai dalam lakonan, cukup dengan watak tambahan dalam tiga empat babak.

Tapi, teater mengajar saya membaiki banyak kekurangan diri.

Selain, gerak kerja secara berkumpulan; dan proses ini memerlukan semangat kekeluargaan yang kuat; kami juga saling bekerjasama menyediakan kostium, prop dan set pementasan.

Malah, memunggahnya juga secara bersama setelah show selesai.

Antara 1987 hingga 1992 — saya sentiasa berulang-alik ke KT. Kalau ada kerja kru — saya balik lagi ke KL.

Cuma, di Sanggar Teater — saya menikmati hidup dengan kemewahan buku.

Lebih 1,000 judul buku di rak dan lantai rumah. Di situlah nikmatnya — mengapa saya suka tinggal di Sanggar Teater.

Saya baca buku setiap hari, dan hingga sekarang — akan sentiasa terkenang: “Betapa indahnya menikmati puisi-puisi Sapardi Djoko Damono, Emha Ainul Najib dan WS Rendra di KT.”

Selain, turut didedahkan dengan pelbagai skrip teater merangkumi Shakespeare, Arthur Miller, Albert Camus, Putu Wijaya dan A. Samad Said.

Beraya di KL. Saya (biru), Duet, Abu Bakar Musa, Pak Marzuki, Owl, Wan Kanari dan Rukman Majid.

RAMADAN DI SANGGAR TEATER

Sebulan Ramadan; kami hentikan semua aktiviti latihan.

Setiap malam sepanjang bulan puasa, Marzuki Ali aturkan jadual terawih. Kami jalan kaki dari satu masjid ke satu masjid sekitar KT.

Allah saja yang tahu; mula-mula masjid sekitar Bukit Besar. Kemudian jalan sampai ke kampung-kampung yang lebih jauh.

Dek penat berjalan; masa pergi pun diam; masa berjalan balik — lagilah senyap.

Kami berbuka dan bersahur ala kadar; nasi putih dengan ikan selar goreng. Sesekali, ada sayur lemak kubis.

Alhamdulillah… antara tahun 1987 hingga 1992 — ada tiga kali, saya sempat beraya di KT.

Kawan-kawan teater ajak ke rumah; saya nikmati hari raya di perantauan.

Beraya di KT lebih baik daripada di KL. Kalau di KL… hari raya pun, suasana tetap sama — asyik melepak dan melongo di Kompleks Pertama dan Campbell saja.

Suasana dalam Sanggar Teater. Foto sekitar tahun 1990/91.

KT KAMPUNG HALAMAN

Saya asal Kedah; tapi, KT juga kampung halaman. Saya selalu rindukan Bukit Besar, Pasar Garik dan Pantai Batu Buruk.

Saya suka Hock Kee Seng; Stesen Bas yang lama; serta duduk melepak makan kepok lekor di warung-warung catuk sekitar KT.

Tapi, jangan pikat gadis KT di khalayak ramai; itu bukan budaya Ganu.

Tahun 80an, era yang perit tapi indah; walaupun hidup rumit dan selalu berlapar, tapi “makan ilmunya” mewah — terasa kenyang sampai sekarang.

Main teater satu proses penting; ia mengajar dan membina keyakinan diri; berada di depan pentas tanpa rasa gementar.

Tenang saja — walaupun bergelut dengan hafalan skrip dan karektor watak.

Malah, teater satu proses saya belajar untuk berani berbicara secara terbuka di depan khalayak.

Terima kasih Ganu — telah kau berikan satu zaman yang indah….

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...