Judul lagu To’ki Kembali dijangka menjadi single terbarunya – Inshaallah.
Lirik To’ki Kembali merangkumi sejarah hidupnya yang berkisar pada perjalanan lebih tiga dekad dalam kepelbagaian dimensi.
Sejak berusia 16 tahun, To’ki merentas dunia jenayah kongsi gelap, penagihan dadah dan seterusnya kehilangan diri serta pertarungan selama dua dekad mencari jalan pulang.
To’ki Kembali juga mencerap sejarah hitam putih serta jatuh bangunnya sebagai manusia – sebagai suami, sebagai bapa dan seorang penyanyi.
To’ki Kembali ialah lagu dengan naratif sebuah renungan hidup penyanyi ini. Perasaan ingin kembali setelah timbul kesedaran untuk bangkit semula membina hidup baru.
Kembalinya penyanyi yang rebah
Hidup perlukan renungan terutama dalam soal persahabatan. Walaupun, sesekali elok juga merenung soal permusuhan.
Renunglah dengan jujur – supaya yang terfikir dan terhasil daripada renungan itu ialah kebaikan yang bermanfaat.
Pada 1 Julai lalu, kisah seorang rakan yang juga bekas gengster dan penagih dadah serta pernah bergelar bintang popular muncul menjadi trending di media sosial baru-baru ini.
Sangat trending hingga dari laporan portal berita Awani Online, kisah hidupnya di pondok kecil di Alang Sendayu, Gombak tular di media sosial.
Dalam tempoh 48 jam – kisah hidupnya melebar dan jadi bahan laporan akhbar dan TV. Malah, trending melangkaui lebih sejuta perkongsian di pelbagai platform media sosial.
Orangnya ialah Mohd Zaki Mansur. Lebih dikenali sebagai To’ki. Alhamdulillah. Tularan berita itu ada hikmahnya. Hasil usaha rakan wartawan Awani, pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan segera membantu. Kehidupan To’ki bersama isterinya di pondok kecil berakhir pada 11 Julai lalu.
Penyanyi popular dekad 90-an ini segera mendapat bantuan dan diberikan rumah PPR dan berpindah masuk pada 12 Julai.
“Haters” tegar kembali atas dendam lama
Pada masa yang sama – kisah gelap dan pelbagai cerita buruk mengenai kehidupan masa lalu penyanyi popular ini turut diberikan liputan meluas oleh media massa lain.
Semua laporan mengenai keburukan artis kelahiran Changlun ini ditulis semula. Sekalipun, semua laporan yang dicetak semula itu ditulis wartawan tanpa pernah datang menemubual To’ki.
“Mereka boleh datang kalau mahu maklumat. Tetapi melaporkan kembali kisah lama untuk
menerbitkan kebencian masyarakat dan melaga-lagakan saya dan keluarga tentulah tidak baik,” kata To’ki.
Laporan akhbar menyebut anaknya enggan mempedulikan penyanyi ini. Malah, menganggap apa yang berlaku adalah karma pada ayahnya.
Malah, ada wartawan yang mengutip semula berita dua tahun lalu, apabila adik penyanyi ini, enggan memberikan nombor telefon anak-anaknya.
“Memang saya ada pergi minta nombor telefon anak-anak kerana saya rindu. Tapi, adik saya fikir mungkin belum masanya saya menghubungi anak-anak. Itu saja. Tetapi dilapor semula seolah-olah adik saya bencikan saya,” kata To’ki.
Selepas bercerai pada 2003, penyanyi ini jatuh teruk dalam kerjayanya. Namanya tercemar apabila dikaitkan sebagai geng kongsi gelap dan penagih dadah. Malah, To’ki dilaporkan mengemis di Pasar Borong dan stesen minyak.
“Apa yang lepas kira lepaslah… tidak perlu diungkit dengan niat memalukan saya serta keluarga,” katanya.
Tiada teman berbincang masalah
Alhamdulillah. Kini di rumah yang disewakan PPZ, To’ki dan isteri yang mengalami patah TuLang punggung dapat melalui kehidupan lebih baik. Sangat baik berbanding keadaan kurang sempurna ketika berada di pondok lama di tebing lereng tanah tinggi.
Hidup baru kini bermula. Malah, fasa paling mencabar akan dialami penyanyi ini sepanjang tempoh enam bulan bermula Ogos ini.
“Ya, saya akan lalui fasa hidup yang paling menguji dalam enam bulan ini kerana rawatan pemulihan dan psikologi,” kata To’ki. Sebagai bekas penagih dadah, penyanyi ini mahu benar-benar pulih dan tidak lagi bergantung pada ubat-ubatan.
“Tetapi semua ini tidak mudah. Saya perlukan doktor pakar dan sudah mendapatkan temujanji
pada Ogos nanti,” katanya.
Selain masalah penagihan dan proses meninggalkan ubat-ubatan anti penagihan, To’ki juga memerlukan rawatan kaunseling. Kesan utama yang membebankan penyanyi ini ialah memulihkan “gangguan depresi” dan fobia sosial yang dialaminya.
“Saya perlukan kekuatan mental untuk berdepan masyarakat apabila kembali menyanyi dan saya mahu menggerakkan kempen sosial bagi meningkatkan hubungan kasih-sayang sesama manusia,” kata To’ki.
Cuma, penyanyi ini ketiadaan teman untuk berbincang soal masalah dirinya.
Ini krisis yang dialami ramai bekas penagih apabila melalui proses pemulihan. Mereka dijauhi keluarga, rakan-rakan dan sistem sokongan moral sangat minimal.
Sifat dan sikap masyarakat yang kurang peduli menyebabkan sistem sokongan moral dan profesional sangat minimal dalam membantu bekas penagih memulakan hidup baru.
Pada hari-hari yang sukar ketika mengalami beban trautamik terhadap dadah, kemusnahan keluarga dan ketakutan pada kegagalan – penyanyi ini berdepan tekanan fobia dan serangan “anxiety” yang teruk.
“Ini keadaan paling menakutkan sebab gangguan ini menyebabkan saya mengalami serangan panik teruk dan kembali bergantung pada ubat-ubatan yang sebenarnya tidak sesuai,” kata To’ki.
P
ini berkongsi kisah hidupnya setelah menyedari, betapa pentingnya satu sistem sokongan sosial dan profesional bagi membantu individu yang ingin memulakan hidup baru.
Oportunis yang berbaloi
Kenalan boleh datang dan pergi. Malah, menyeret penyanyi ini ke mana saja pada saat dirinya menjadi subjek tumpuan masyarakat. Wang dan beras ialah rezeki; tanda ehsan manusia pada nasibnya.
Namun, yang dicari penyanyi ini ialah nilai “persahabatan” untuk membantunya memulakan hidup baru setelah tiga kali gagal untuk pulih daripada ancaman dadah. Setelah menilainya, jelas wujud kenyataan pahit yang mesti ditelan: “rakan dan kawan tidak berani terlalu akrab dan terlalu membantu.”
Semua masih tidak mahu menanggung risiko sekiranya penyanyi ini gagal atau Kembali “bermasalah”. Rakan-rakan bimbang mereka turut terpalit lumpurnya. Kecuali membantu sekadarnya, atau mendapat manfaat ketika To’ki sedang trending di media sosial.
Kesukaran mesti ditempuhi
Bahagian proses pemulihan adalah cabaran paling sukar. Penyanyi ini mesti tabah melaluinya sekali pun perlu bersendirian.
“Tak sabar nak jumpa doktor dan dapatkan nasihat pakar serta ubat yang betul bagi menyelesaikan masalah saya,” kata To’ki.
Setakat ini, ternyata penyanyi ini sangat berkeyakinan untuk memulakan hidup baru tanpa dadah dan jenayah. Malah, mahu berjuang sekali lagi di pentas nyanyian dengan semangat diri dan iltizam muzik
yang baharu.
Pada usia lebih setengah abad – To’ki mahu kembali memenangkan hati anak-anak dan
peminatnya.
“Saya akan melakukannya, saya pasti akan melaluinya walau banyak cabaran. Saya ingin meyakinkan anak-anak, bahawa saya bapa yang baik,” katanya.
Kita tahu sejarah penyanyi ini; tapi menghukum dan menghasut masyarakat membencinya – sangat tidak adil.
Kepada yang membenci – hentikan sekejap kebencian anda. Pada yang mahu mengambil
kesempatan; ambillah dengan baik dan berbaloi.
Pada wartawan yang “haters” – simpanlah ancaman kebencian.
Bukan apa-apa; tidak perlulah menikam seseorang yang lemah dan sedang bertongkat mencari
nyawa!
Oleh : ZAINAL RASHID AHMAD
Saya faham, bukan mudah utk To’ki jalani proses pemulihan tetapi skg, saya yakin dgn semangat org sekeliling To’ki mampu atasinya dgn cara sendiri. To’ki, Pls don’t give up ( juga pada sahabat dan keluarga terutama isteri) Allah beri apa yg kita mampu hadapi. Sabar di bina dari dlm diri sendiri, Insha-Allah semuanya akan baik baik belaka.