Pada tahun 2007 — beberapa minggu selepas pulang dari Mekah — saya jumpa Loloq (1957-2008) di Pasar Seni.
Mulanya, kami merancang ke Masjid India minum teh; tapi, Loloq ada urusan lain di Puduraya.
Dalam kesempatan yang sebentar — kami berpelukan; saya ucap tahniah kerana dia baru balik umrah.
Seperti selalu; Loloq bersemangat dalam setiap perkataannya: “Lu kena pergi Mekah, Nal.”
“Situ tempat untuk orang macam kita. Lu pergi umrah… nanti lu mesti jumpa titik berhenti. Kutu macam kita… dah penat merayau.”
Ayat Loloq bunyinya ‘simple’ — tapi indah; kerana kami sama-sama jadi kutu-rayau dekad 80an.
Ungkapan “jumpa titik merayau” — satu klaus bahasa yang sangat bermakna.
Satu kosa kata paling tepat; bagi menamatkan pengembaraan masa muda kami; yang penuh dengan ideologi dan lambakan filosofi.
Setelah Loloq pergi (30 Jan 2008) — saya pegang kata-kata akhirnya: “Bahawa… Mekah itu tempat terbaik bagi mereka yang ingin mencari titik henti — setelah jauh merayau dalam putaran kehidupan.”



PYAN HABIB (1958-2024)
Pyan… saya pangggil (abang); selalu berziarah ke studio sejak 2021.
Apa lagi, ketika penat terperap dalam perioda sepi; ketika kita semua terkurung oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) — mulai Mac 2020 kerana Covid-19.
Apabila had bergerak PKP dibenarkan dengan tidak melepasi rentas daerah; Pyan mula melawat saya di studio Setapak.
Sesekali, dia jadi tamu baca puisi dalam strim 9 malam.
Kami lebih akrab pada 2022; apabila studio berpindah ke Cheras. Pyan kerap datang; menemani saya minum kopi di sofa studio selepas strim 12 malam.
Momen minum kopi ini membuka minda saya; bahawa — Pyan satu gambaran jelas — mengenai impian seorang seniman yang rindukan Kaabah.
Sejak itu — Pyan kekal dalam kenangan; dengan kesan yang amat mendalam; setiap kali saya melihat kawan-kawan sebaya atau lebih tua.
Saya yakin — kita semua ada rasa rindu ingin ke Mekah.
Cuma, ramai yang memilih mendiamkan diri. Namun, jauh di sudut hati; tiap lelaki dewasa yang diburu waktu — pasti menyimpan rasa rindu, ingin menjejak kaki ke Tanah Suci.
Cuma, manusia perindu selalunya pendiam dan sangat perahsia; takkan sesekali mengungkapkan isi hatinya secara terbuka.
Satu malam — kami berbual (2023); kata Pyan: “Gua sudah tua… tak mau apa-apa lagi. Gua mau umrah saja. Mau pergi Mekah… tengok Kaabah.”
Begitulah lebih kurang ungkapan Pyan. Waktu itu, kesihatan sudah sedikit merosot. Dia sudah lama menderita batuk-batuk dan tubuhnya mulai kurus.
“Abang sihatkah… kalau mahu umrah?” Tanya saya.
Dia merenung saya; saya tahu — dia kurang jelas dengan maksud pertanyaan saya.
Pyan berpaling pada isterinya; kerana tak dapat menangkap gerak bibir saya.
Isterinya, Kak Zurina Zakaria — menjelaskan maksud saya; Pyan pun faham.
“Boleh… kalau mau ke Mekah… gua mesti jadi sihat.”
Saya ketawa; tapi, Pyan terdiam dan cuba memahami: “Apakah jawapannya itu satu jenaka pada saya?”
Saya terus kata: “Kalau, abang nak pergi… saya belanja.”
Isterinya sekali lagi menjelaskan apa maksud kata-kata saya. Pyan terdiam; dan saya yakin — fikiran mengabur.
Saya memang sayangkan Pyan seperti abang sendiri.
Kami kenal sejak hujung 80an. Kemudian, kami bekerja satu pejabat di akhbar Utusan Melayu (1994 hingga 1996).
Malah, pada lewat 80an — sejak menjengah usia 20 tahun — saya selalu melepak dan mengekori Pyan dalam acara baca puisi di jalanan.
Selesai bual di studio — Pyan pun pulang dengan isterinya. Saya terus mesej dan bertanya lagi soal umrah.
Harapan yang ada sangat besar; agar Pyan faham betapa pelawaan itu satu kesungguhan.
Akhirnya, setelah dua atau tiga kali saya mesej dan terus bertanya — Pyan setuju.
Saya pun terus aturkan tempahan perjalanan.
(Bukan soal ada duit; soal utama, saya sayangkan dia. Cuma, sukar diungkapkan dengan kata-kata biasa.
Di jalanan — generasi kami tak dilatih dengan ungkapan BFF atau bestie. Soal menyatakan kasih-sayang secara verbal; hal yang sangat rumit jadinya).
PYAN & ISTERI PUN UMRAH
Kak Zarina juga ke Mekah; temankan Pyan kerana kesihatan tak mengizinkan dia pergi sendirian.
Pyan perlukan penjaga dan seseorang yang dapat membantunya berkomunikasi dengan mutawif dan jemaah lainnya.
Alhamdulillah… walaupun demam dan sangat uzur ketika di Mekah; Pyan sempurna selesaikan umrah.
Malah, dia sangat gembira dapat menziarahi Masjid Nabawi di Madinah.
Balik umrah; Pyan kurang sihat. Tapi, dia awal-awal mesej saya mengenai attar dan kurma — hadiah yang dibawanya pulang dari Mekah.
Satu hari, setelah mulai sihat — Pyan gagahi diri ke studio; disuruhnya dengan wajah bersungguh-sungguh.
Dia mahu saya makan kurma Mekah yang dibelinya.
Saya mamah di hadapannya; tanda teruja — meraikan hadiah seorang yang saya anggap abang sejak usia remaja.
Saya rasa — Pyan sangat lega. Akhirnya — walaupun lebih sebulan pulang dari umrah; dia dapat melihat saya menjamah kurma hadiahnya.
KINI NASIR JANI DI MEKAH
Sama macam Pyan; Nasir Jani (lahir 1954) juga saya anggap seperti abang sendiri.
Masa muda; saya menumpang tidur; malah, makan dan minum di rumahnya di Danau Kota.
Dia ajar saya banyak perkara — ketika bekerja sebagai kru produksi drama arahannya.
Pada usia remaja (1990) — saya sangat bercita-cita menjadi sutradara filem.
Saya kerja sebagai kru dalam banyak dramanya sebelum ke USM (1992).
Tapi, yang paling saya ingat; jasanya mengajar saya mengenai seni pencahayaan dalam sinematografi.
Dia ajar sambil kami menonton filem ‘Black Rain’ (1989) arahan Ridley Scott.
Selain seni pencahayaan; dia pupuk minat saya dengan mendetilskan konsep ‘story telling’.
Nasir Jani ajar juga — hebatnya modul lakonan Micheal Douglas, Andy Garcia dan Ken Takakura.
Kami menonton ‘Black Rain’ di rumahnya di Danau Kota.
Pada malam hari pula, sekitar tahun 1990 yang penuh idealis — Loloq dan Bob Lokman (1964 – 2022), sering datang bertandang.
Mereka bertiga gesir berbual; saya tekun mendengar diskusi — debat dan idea hebat yang turun dari awan dan membumi.
Menjelang Subuh — barulah mereka bersurai.
SAYA BERANIKAN DIRI TANYA NASIR JANI
Satu hari (Oktober 2024), Nasir Jani singgah di studio.
Selalunya, kalau turun ke KL dari Melaka — dia pasti usahakan waktu singgah melawat saya.
Sejak dulu — saya panggil Nasir Jani dengan pelayanan ‘abang’. Itu tanda hormat kerana jurang umur kami 13 tahun.
Pada Oktober 2024 itulah — ketika duduk berbual berdua di sofa; saya beranikan diri dan nekad bertanya:
“Bang…,” kata saya: “Lepaklah Mekah… saya belanja umrah.”
Nasir Jani terus ubah topik; mukanya cuba mengawal reaksi.
Saya tak pasti: Apakah kesan pelawaan saya terhadap perasaannya?
Ada rasa gugup di dada; kalau-kalau saya tersalah bertanya.
Tiga minggu selepas pulang ke Melaka; barulah Nasir Jani mesej saya.
“Abang, ambil masa fikir,” katanya.
Saya bergurau; gunakan ‘slanga’ jalanan supaya perbualan jadi lebih selesa: “Abang lepak saja sana… jalan-jalan dengan akak; cuti-cuti buat umrah.”
Akhirnya, Nasir Jani setuju; hati berasa lega — kerana pelawaan sudah ada jawapannya.
Sekarang (sejak 19 Februari 2025) Nasir Jani sudah lima hari di Madinah. Pada Isnin (24 Februari) — dia dan isterinya (Kak Ruhana Ismail) tiba di Mekah.
Nasir Jani kirim mesej — beserta beberapa foto; tanda perjalanannya dipenuhi rasa bahagia.
Pada setiap foto — dicatatkan sekali; sejarah ringkas lokasi yang diziarahinya.
“Depan Masjid Aresh… bekas tapak khemah Rasullulah ketika Perang Badar,” tulisnya.
Saya balas dengan emoji ala slanga 80an —
.
Inilah emoji terbaik dalam apps sekarang — yang mampu menzahirkan emosi generasi kami.
MEREKA ABANG SAYA
Nasir dan Pyan bukan sahabat; tapi, seperti abang dan keluarga.
Mereka senior dan banyak mendidik ketika zaman muda saya yang kacau-bilau.
Loloq — walaupun 10 tahun lebih tua; tapi, tak mungkin dipanggil abang.
Dia pasti berasa janggal dan menjegilkan mata sepetnya — kalau saya panggil ‘abang’.
Ini catatan tiga nama; antara begitu banyak nama-nama — yang saya terhutang budi dan kenangan.
Saya catatkan kali ini dengan latar Mekah, Kaabah dan umrah.
Mereka ‘abang’ yang menabur jasa baik bermanusia; membantu saya membina warna hidup ketika usia muda.
Kita semua akan pergi; kerana mati itu pasti.
Cuma, untuk mengenang momen terindah dalam hidup — kitalah yang tahu — cara menghargainya.
Sama ada keluarga atau sahabat sejati; itu anugerah terindah kurniaan Ilahi.
Nilai dan momen persahabatan — tidak boleh dijual beli.
Bak lirik The Hollies: “He Ain’t Heavy, He’s My Brother….”
#coretanzra